"Bai, ko kenal tak dengan budak kelas Awam 3 depan kelas kita ni?"
Tanya Kamal kepada Baizura. Suaranya sedikit kuat, memandangkan kelas mereka agak bising sementara menunggu kehadiran Puan Jamilah, guru Bahasa Malaysia mereka.
"Yang mana? Itu?"
Baizura merujuk kepada sekumpulan pelajar yang berkumpul di hadapan kelas Awam 3. Mungkin mereka ada kelas lukisan kejuruteraan selepas ini. Masing-masing membawa beg papan lukis. Suasana riuh rendah di hadapan kelas Awam 3. Sebahagian pelajar perempuan kelihatan sudah pun pergi menuju ke makmal lukisan kejuruteraan. Yang pelajar lelaki mengekor dari belakang, berjalan perlahan sambil saling bergurau sesama mereka. Tetapi gadis yang dimaksudkan Kamal hanya berdiri seorang diri di tepi koridor, seperti sedang menunggu seseorang.
"Ha'ah. Yang tengah berdiri menghadap kelas kita ni."
"Oh.. Itu Anis. Dorm dia dekat je dengan dorm aku."
Kamal tekun mendengar, sambil menganggukkan kepala.
"Bagus budak tu. Baik je."
Sambung Baizura lagi sambil menggigit hujung pensel yang dipegangnya. Jari-jemarinya sibuk menekan butang kalkulator. Entah apa yang dikiranya. Kertas di atas mejanya penuh dengan hasil kira-kira. Kamal masih lagi mendiamkan diri. Matanya masih memandang ke arah kelas Awam 3.
"Eh kejap! Kau minat kat Anis tu eh?"
Sergah Baizura separa menjerit sambil dialihkan pandangannya ke arah Kamal. Kali ini dia tersenyum nakal. Pensel yang dipegangnya tadi, dicucuk-cucuk ke bahu Kamal. Beberapa pelajar lain yang berada di kelas itu kelihatan tersenyum mendengar kata-kata Baizura tadi.
"Mana ada. Aku tanya je lah!"
Kamal cuba menidakkan telahan Baizura.
"Eley... Ngaku je lah! Patut la dari hari tu lagi dok pandang-pandang je Awam 3 tu kan? Kau ingat aku tak perasan?"
Suara Baizura semakin lantang.
"Biarkan Bai, dia tengah angau tu. Hahahaa!!!"
Usik Emi pula.
"Eh, tapi aku dengar dia dah ada yang punya la. Budak Form 4 jugak."
Kata Baizura. Kali ini suaranya perlahan, seakan-akan berbisik.
"Lah, yeke?"
Balas Kamal ringkas. Dia toleh kembali ke kelas Awam 3. Kali ini, kelihatan seorang pelajar lelaki menuju ke arah Anis. Lelaki itu juga membawa beg lukisan.
Dan mereka berjalan beriringan, meninggalkan kelas itu.
Kamal terkedu.
(bersambung...)