Monday, July 26, 2010

Tiga - "Kenalkan, ...."


***kriiiinnngggggggggggg!!!!***

Loceng sekolah berbunyi, menandakan mulanya waktu rehat. Ustaz Amin melangkah keluar dari kelas 5 PST. Anjang dan Acik pun bingkas bangun. Seperti kebiasaan, mereka lah antara orang yang paling awal sekali sampai ke kantin. Risau makanan habis jika terlambat.

"Mal, tak pergi kantin ke?"

Tegur Emi bila dilihatnya Kamal masih di tempat duduknya. Tekun menyiapkan kerja rumah. Kerja rumah yang perlu disiapkan dan dihantar selepas waktu rehat nanti.

"Eh, takpe lah. Kau pergi je dulu. Tak payah la tunggu aku. Kejap lagi dah siap aku turun."

Balas Kamal tanpa memandang. Tangannya lincah menulis karangan di atas kertas kajang. Tugasan Puan Jamilah jangan dipandang enteng. Puan Jamilah kurang gemar mendengar alasan jika tugasan yang diberinya tidak dapat disiapkan. Lebih-lebih lagi alasan "terlupa".

Emi tersenyum kecil bila mendengar jawapan Kamal lalu segera keluar menuju ke kantin. Suasana riuh rendah pada masa rehat itu tidak dihiraukan Kamal. Begitu juga dengan perutnya yang kelaparan minta diisi. Baginya, karangan ini lebih penting dan perlu disiapkan sebelum tamatnya waktu rehat. Belum pernah dia didenda oleh Puan Jamilah. Satu sekolah tahu, Puan Jamilah ialah seorang guru yang gemar memberi tugasan kepada anak muridnya, dan gemar juga mendenda jika tugasan itu tidak dapat disiapkan pada waktu yang ditetapkan.

Tiba-tiba,

"Eh Mal, sini kejap..."

Panggil Baizura dari pintu hadapan kelas mereka. Wajahnya tersenyum manis.

"Ada apa? Aku sibuk ni."

"Eh sini lah kejap. Ada orang panggil kau ni."

"Sape?"

"Ish, kau ni! Cepatlah!"

Jerkah Baizura sebelum berlalu pergi. Kamal segera menghabiskan ayat-ayat terakhir karangannya. Usai selesai, dia bingkas bangun menuju ke arah pintu keluar kelas. Kelihatan seperti ada hal yang penting. Matanya meliar mencari Baizura.

Mereka berjalan pantas, dengan Baizura mengepalai Kamal ke arah tangga bangunan yang membahagikan antara blok kelas Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Ditambah dengan keadaan riuh rendah ketika itu, agak sukar bagi Kamal mengekori Baizura dengan rapat. Dalam keramaian itu, matanya tajam memandang belakang Baizura. Risau kehilangan jejak.

Tiba-tiba, kelihatan Baizura berhenti di pintu sebuah kelas kosong. Kamal yang mengejar dari kejauhan, memperlahankan langkah dan turut berhenti bila dia tiba betul-betul di belakang Baizura.

"Ko nak bawak aku pergi mana ni?"

Tanya Kamal sambil matanya tajam memandang Baizura. Baizura hanya tersenyum.

"Kenalkan, inilah Kamal, budak laki yang selalu suruh akak sampaikan salam dekat awak tu."

Kata Baizura kepada seseorang di sebalik pintu kelas kosong tersebut. Seseorang yang sebelum ini, Kamal tidak menyedari pun akan kehadirannya kerana matanya sedari tadi memandang ke arah Baizura.

Kelihatan di sebelah Baizura seorang gadis berwajah ayu, putih melepak dan bertudung labuh sedang tersenyum ke arah Kamal. Matanya bulat bersinar, seakan-akan mampu berbicara. Sedangkan bibirnya halus mengukir senyuman. Suaranya halus memulakan bicara,

"Hai.."

Kamal tercengang.

Pandangannya dialihkan ke arah Baizura. Baizura yang kini berdiri agak membelakangi gadis itu, tersenyum nakal sambil mengangkat kedua-dua ibu jarinya dan ditunjukkan ke arah Kamal. Mengejek. Tidak cukup dengan itu, dia menjelirkan lidahnya ke arah Kamal sebelum pergi meninggalkan mereka berdua.

Kamal seakan-akan tidak percaya.

"Err... Anis?"


(bersambung...kalau gua rajin)


Comments
0 Comments

0 orang tak puas hati: