Friday, August 13, 2010

[Lima]: Interval 2 tahun.

Kamal mengeluarkan telefon bimbitnya. Dengan pantas jemarinya menaip sesuatu sambil berlalu pergi dari kawasan parkir motosikal.

[Semalam saya call awak, tapi awak tak jawab pun. Kesian saya tau, dah seminggu tak dengar khabar dari awak. Letih sangat ye kerja tempat baru tu? BTW saya nak bagitau yang saya rindu awak sangat2...]

*SEND*

Kamal menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam kocek.

"Kamal, tolong bungkuskan mi kari untuk akak ni. Dua bungkus."

Kata Pakcik Samad sambil sibuk mengira duit baki untuk diberi kepada pelanggan. Kamal yang baru pulang dari menunaikan solat Jumaat di Masjid Putrajaya, segera memakai apron dan melaksanakan tugasan kebiasaannya, iaitu menyediakan hidangan untuk pekerja-pekerja kerajaan yang datang untuk menjamu selera di medan selera Parcel C, Kompleks Kerajaan itu.

Sudah sebulan Kamal melayan kerenah pelanggan di medan selera itu. Sebenarnya, kedai tersebut disewa oleh kenalan bapa Kamal iaitu Pakcik Samad. Sebulan sebelum itu, Pakcik Samad telah menghubungi bapa Kamal. Katanya dia amat memerlukan beberapa orang pekerja sementara di kedai tersebut kerana pekerja-pekerja asal kedai tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa tempatan kerana masalah permit pekerja asing. Dengan niat membantu, bapa Kamal telah mencadangkan kepada Kamal untuk bekerja sementara Pakcik Samad mencari pengganti kekal pekerjanya. Tambahan pula, Kamal masih dalam cuti semester.

Ya, Kamal kini bergelar mahasiswa di sebuah pusat pengajian awam di Sabah. Setelah dia menamatkan zaman persekolahannya, dia telah menyambung pelajarannya ke matrikulasi dan setelah tamat program matrikulasi, dia telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajiannya dalam bidang seni kesusasteraan di Borneo. Pada mulanya, agak keberatan untuk dia menerima tawaran tersebut kerana faktor jarak. Tetapi atas dorongan keluarga, dia terpaksa turutkan juga. Malahan, Anis, insan yang paling istimewa dalam hidup Kamal sendiri yang beria-ia mahukan Kamal menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Katanya, dia mahu Kamal berjaya dalam hidup dan dia tidak kisah jika perhubungan mereka Kamal letakkan di tempat kedua. Bagi Anis, kejayaan Kamal ialah kejayaan untuk mereka berdua dan dia tidak kisah jika terpaksa berjauhan dengan Kamal selama beberapa tahun demi pelajaran.

Sememangnya, Anis sangat memahami. Sikap itulah antara punca hubungan mereka kekal selama lebih 2 tahun.

Kerana masing-masing tinggal berjauhan, Anis dan Kamal lebih banyak meluangkan masa bersama melalui telefon bimbit. Khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sesi perbualan telefon sehingga awal pagi menjadi pengubat rindu mereka. Sejak mereka berpisah di sekolah, cuma beberapa kali sahaja Kamal berkesempatan untuk bersua muka dengan Anis. Faktor jarak menjadi penghalang utama. Anis berada di selatan, Kamal pula di Lembah Klang. Sememangnya, telefon bimbit menjadi nadi cinta mereka.

Anis kini baru tamat belajar dan bekerja sementara di Johor Bahru. Syarikat tempat kakaknya bekerja itu masih baru, jadi mereka memerlukan beberapa pekerja sementara. Lagipun, Anis mahu menimba pengalaman sebelum menyambung pengajian ke peringkat universiti beberapa bulan lagi.

Baru seminggu lepas Anis masuk bekerja, mereka sudah jarang berhubung. Kebiasaannya, Anis yang telebih dahulu menghubungi Kamal bertanya khabar dan berkongsi cerita. Namun sejak seminggu yang lalu, tiada khabar dari Anis. Beberapa kali Kamal menghantar mesej, tapi satu pun tidak dibalas. Panggilan telefon pada waktu malam pun tidak dijawab.

Kamal kerisauan. SMS yang dikirim selepas solat Jumaat tadi masih tidak berbalas.

*Bzzzz... Bzzzzz...*

Kamal mencuri-curi melihat telefon bimbitnya semasa ketiadaan pelanggan. Dengan pantas, dia menyeluk kocek seluarnya dan memeriksa skrin telefon. Semasa dia sibuk melayan pelanggan sebentar tadi, dia perasan telefon bimbitnya bergetar.

Ada satu mesej masuk.

[Awak, minta maaf banyak2 sebab saya dah seminggu tak contact awak. Sibuk sangat lately. Kesian awak, dalam banyak-banyak mesej awak bagi kat saya, ini je yang mampu saya reply. Nanti bila saya dah tak sibuk, I'll try to make it up with you, okay? Buat kerja hati-hati tau. Sayang awak, Kamal.]


Kamal tersenyum. Kerisauannya selama ini mulai reda.

[macam biasa, bersambung...]

Comments
0 Comments

0 orang tak puas hati: