"Macam biasa ye kak, secawan kopi panas."
Ujar Kamal seraya duduk.
"Okey, budak tak ada kawan!"
Balas Lisa sambil tersenyum mengusik. Lisa yang sedari tadi mengekori Kamal semenjak ketibaannya ke kopitiam itu, menulis sesuatu di atas buku resit, dan kemudiannya berlalu pergi ke kaunter.
Iya, 'Budak Tiada Kawan', itulah nama yang Lisa seringkali gunakan untuk mengusik Kamal. Lisa sedar, dia hanyalah pelayan di kopitiam itu sedangkan Kamal merupakan pelanggan. Orang yang membayar gajinya. Memanggil pelanggan dengan nama yang bukan-bukan boleh mnyebabkan dia dimarahi. Tetapi status Kamal sebagai pelanggan tetap di kopitiam itu semenjak dua tahun lalu, seakan-akan memberi izin bagi Lisa untuk mengusik Kamal, walaupun kedengarannya agak kasar.
Semenjak kali pertama Kamal menjejakkan kaki ke kopitiam itu dua tahun lalu, tidak pernah sekali pun Lisa melihat dia berteman. Dia sentiasa berseorangan. Dan tempat duduk pertamanya, ialah di satu meja sudut hujung kopitiam itu, yang paling jauh dari pintu masuk. Di situ paling tak ramai orang lalu lalang, samada orang itu pelayan mahupun pelanggan. Dan Kamal pilih untuk duduk menghadap ke arah pintu. Jadi Lisa sangkakan, dia sedang menunggu kehadiran seseorang.
Tapi kini, dua tahun lamanya, tidak pernah lihat seorang pun yang masuk dan menemani Kamal. Dan sepanjang dua tahun itu, meja itu tetap menjadi pilihan Kamal. Seakan-akan ada namanya terpahat di meja itu sebagai pelanggan tetap.
Hari pertama itu jugalah, Lisa ditugaskan untuk mengambil pesanan dari Kamal.
"Sejahtera, encik. Nak minum apa?"
Kamal yang sedari tadi memandang ke luar, mengangkat kepala lesu menoleh ke arah suara halus itu. Lisa sedia berdiri di tepi mejanya, sambil mengetuk-ngetuk pen pada buku resit yang dipegang. Kamal sempat melihat tag nama yang tersemat di dada Lisa.
"Err.. Kopi panas ye, Kak Lisa"
Lisa terkejut, tapi kemudiannya segera mengukir senyuman manis. Dia sedar, Kamal terlihat tag namanya. Dia suka sebenarnya bila namanya disebut pelanggan. Tidak terlalu formal. Tapi yang membuatnya terkejut, bila Kamal memanggilnya 'kak'.
"Apa, tua sangat ke rupa aku ni? Padahal nampak macam sebaya je!"
Getus Lisa dalam hati sambil ke kaunter. Bibirnya dicebikkan.
Kerana itulah, mungkin kerana geramkan Kamal memanggilnya 'kakak', dia pula memanggil Kamal 'Budak Tiada Kawan'. Selepas dua tahun, dia tahu nama sebenar Kamal, tapi sengaja dia panggil dengan 'Budak Tiada Kawan'. Padan muka. Memang sesuai sangat.
Tapi Kamal tidak pernah pula melenting bila dipanggil dengan gelaran sedemikian. Sebenarnya, memang Kamal tiada niat untuk bersama sesiapa jika dia ingin minum di kopitiam itu. Pendek kata, sekiranya Kamal mahu duduk berseorangan, dia pilih untuk ke kedai itu. Dia lebih suka ditemani secawan kopi dan hiruk pikuk pelanggan lain yang tiada kena mengena dengannya. Dia lebih selesa begitu.
Kopitiam itu menjadi pilihan Kamal, kerana dia sukakan kedudukannya. Kopitiam itu terletak di hujung sudut deretan rumah kedai, dan betul-betul di tepi simpang empat besar jalanraya kota. Dia pilih untuk duduk menghadap pintu bukan kerana mahu menunggu sesiapa, tapi cuma kerana mahu duduk menghadap simpang empat tersebut.
Dia suka melihat deretan kenderaan yang tak pernah berhenti melewati simpang empat itu. Terutamanya petang-petang sebegini, waktu orang pulang dari kerja. Kemudian diselang-selikan pula dengan lautan manusia pejalan kaki yang mahu melintas jalan. Di tembok-tembok bahu jalan pula, terdapat beberapa kumpulan manusia lain yang mampu berubah-ubah. Pemuzik jalanan, peminta sedekah, sekumpulan remaja bersosial, pasangan bercinta, orang tua yang sekadar mahu berehat, dan pelbagai lagi wajah manusia bersilih ganti duduk di tembok itu.
Lagi satu yang menjadikan kopitiam ini pilihan Kamal, ialah muzik yang dimainkan di kopitiam itu selalu masuk dengan moodnya. Sekarang, dia sedang mendengar lagu "My Backwards Walk" nyanyian kumpulan rock indie dari Scotland, Frightened Rabbit. Sambil mendengar lagu itu, dia memandang ke arah cermin kaca itu, ke arah simpang empat itu.
"Nah, secawan kopi panas, untuk Budak Tiada Kawan kita!"
Lisa datang secara tiba-tiba sambil meletakkan secawan kopi panas di hadapan Kamal. Terperanjat, Kamal segera mengalihkan pandangannya ke arah pelayan manis itu yang sedang tersengih-sengih manja.
"Tengok apa tu, Encik Kamal? Ada gadis cantik ke kat luar tu?"
Lisa memang gemar mengusik.
"Kalau setakat nak tengok gadis cantik, tak perlu susah-susah jegil mata ke luar. Baik saya tengok Kak Lisa."
Balas Kamal bersahaja. Kali ini Lisa pula terdiam. Pipinya mula kemerahan, mungkin kerana malu dipuji, atau kerana geram dipanggil 'kak' buat sekian kalinya. Niat asal mahu kenakan Kamal, tapi dia pula yang terkena. Dia segera meninggalkan Kamal. Seperti biasa, mencebikkan bibirnya yang sama merah dengan pipi.
Kamal tersenyum nipis melihat Lisa berlalu pergi. Barulah keadaan betul-betul tenang.
Pandangannya dialihkan ke arah simpang empat itu sekali lagi. Sesak. Padat. Penuh dengan ragam manusia. Selalunya, Kamal tidak terus pulang ke rumah apabila habis waktu bekerja. Dia pilih untuk minum secawan kopi sementara menunggu jalan kota itu kurang sesak.
Iya, Kamal sudah bekerja. Tiga bulan setelah tamat belajar, Kamal diterima bekerja sebagai pembantu editor di sebuah syarikat penerbitan buku dan majalah yang sedang meningkat naik. Gajinya lumayan, malah dia juga ada Ali, rakan baiknya semenjak di Sabah. Ali juga yang mencadangkan Kamal untuk bekerja di situ.
Anis?
Semenjak tiga tahun lepas, sudah tidak kedengaran lagi khabar berita tentang gadis itu. Mereka bukan lagi pasangan bercinta seperti dahulu. Apa yang Kamal tahu, kali terakhir dia terima mesej Anis ialah pada suatu malam harijadinya tiga tahun lepas, berbunyi:
[Kamal, saya nak awak lupakan saya. Saya dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga, walaupun saya tak rela, tapi saya tiada pilihan lain. Terima kasih, dan maaf, untuk segalanya.]
Lain yang Kamal harapkan, lain pula yang jadi. Diharapkan mesej Selamat Hari Lahir dari Anis, tapi yang tiba ialah mesej yang sangat tidak diduga. Semuanya secara tiba-tiba. Apabila Kamal meminta penjelasan, tidak pernah mesejnya dibalas. Panggilan telefon pula tidak pernah dijawab. Semenjak tiga tahun lepas, Kamal tidak lagi sambut hari lahirnya.
Termasuklah hari ini.
"Surprise!!!"
Suara comel Lisa sekali lagi berjaya membuatkan Kamal terkejut. Ini kali yang kedua. Nasib baik Kamal tak diserang penyakit jantung.
"Nah, hadiah hari lahir untuk 'Budak Tiada Kawan' kita!"
Lisa menjerit lantang sambil menghulurkan satu bungkusan hadiah kepada Kamal.
"Macam mana..."
Kamal belum sempat bertanya, bila dipintas Lisa.
"Macam mana saya tahu hari ni birthday Encik Tiada Kawan? Entahlah, saya pun tidak tahu sebenarnya, tapi pagi tadi ada seorang gadis bermata kucing datang ke kopitiam ini dan menyerahkan bungkusan hadiah ini. Katanya, untuk jejaka yang sering duduk di meja ini."
Kamal mendengar penjelasan Lisa sambil membelek-belek bungkusan berwarna merah itu. Di atasnya terdapat satu kad kecil, bertulis: "Untuk Kamal Affendi"
Gadis bermata kucing? Ah, sudah. Dia segera mengoyakkan balutan bungkusan tersebut.
"Wah, excitednya Encik Tiada Kawan kita ni. Tapi memang wajarlah excited, mungkin tak biasa terima hadiah secara tiba-tiba kan.."
Kata Lisa sambil duduk di hadapan Kamal, menongkat dagu melihat telatah jejaka itu. Usikan Lisa langsung tidak diendahkan Kamal. Dia mengoyak dengan rakus balutan hadiah tersebut. Jika sekali pandang, memang betul kata Lisa, Kamal kelihatan seperti tak biasa terima hadiah. Excited lain macam.
Setelah selesai membuka balutan merah itu, Kamal dapati ada sebuah kotak yang juga berwarna merah. Perlahan-lahan, Kamal buka kotak tersebut.
...
"Oh, memang hari jadi aku tak pernah gagal untuk mengecewakan aku rupanya."
Ujar Kamal lemah sambil menutup kembali kotak itu, lebih kepada bermonolog sendiri. Lisa terkebil-kebil melihat reaksi Kamal. Sesekali matanya meliar ke arah kotak itu, ingin tahu apakah isi kandungannya.
Kamal bangkit lemah menuju ke kaunter. Ketika itu, lagu "Signs" nyanyian Bloc Party sedang berkumandang. Seakan-akan menambah lagi gundah Kamal. Selesai menjelaskan bayaran secawan kopinya tadi, dia menuju ke pintu keluar. Lisa masih terkebil-kebil melihat Kamal.
"Selamat Hari Lahir, Kamal..."
Bisik Kamal kepada dirinya sendiri seraya keluar dari kopitiam itu. Jelas sekali, isi kandungan kotak itu bukanlah 'hadiah' seperti yang dianggap Lisa.
[Bersambung...]
p/s: Chapter lain sebelum ini, gua dah letak kat tepi blog ini. Siapa tak jumpa, gua tendang sambil melompat.