Friday, July 30, 2010

[Empat] - "Kalau ada, adalah..."



"Eh, Amal tak main bola pulak hari ni?"

Tanya Anis. Sememangnya dari hari pertama mereka bertemu, Anis lebih gemar memanggil Kamal dengan panggilan 'Amal'. Pandangan matanya sangat jujur. Setiap kali dia berbicara, Kamal berusaha untuk memandang ke tempat lain. Dia sendiri tidak tahu kenapa, bila berbicara dengan Anis, dia sukar untuk memandang ke arah matanya. Segan barangkali.

"Tak nak lah. Tengok lah tu, ramai betul budak main bola hari ni."

Jawab Kamal ringkas sambil memuncungkan bibirnya ke arah padang bola sekolah mereka. Lebih dari 22 orang sedang berusaha mengejar sebiji bola. Tidak cukup dengan gol bolasepak, ada juga sekumpulan pelajar lain bermain di padang hoki sebelahnya. Gol hoki dijadikan gawang. Sekali pandang, suasana di padang bola pada petang itu kelihatan seperti babak dalam filem 300. Masing-masing menjerit meminta bola. Sekali dapat bola, 10 pemain pihak lawan datang menyerbu. Tak sempat mengawal, bola sudah berada di kaki pemain lain. Kadar larian sangat kurang. Mereka lebih kepada berjalan di tengah padang. Kalau ada yang berpeluh pun, mungkin sebab cuaca panas. Pemain yang tidak memegang bola, sempat lagi berbual dengan pemain lain. Penjaga gol pula sibuk memberikan tumpuan kepada pelajar perempuan yang sedang bermain softball di padang sebelah.

"Mungkin sebab Anis kot. Tiba-tiba duduk kat kerusi penonton ni, terus diorang bersemangat nak main bola tunjuk bakat."

Tambah Kamal lagi, kali ini dengan nada mengusik. Sesekali dia mencuri-curi pandang ke arah Anis, kemudian dialihkan kembali pandangannya ke padang.

"Mengada tau Kamal ni!"

Anis tersenyum malu. Bunga kertas yang dipetik dan dipegangnya sedari tadi, dicampak manja ke arah Kamal. Sesekali mereka tertawa kecil, sambil bergurau senda di tepi padang itu. Entah kenapa, tidak ramai pula pelajar yang duduk di tepi padang pada hari itu. Biasanya, tempat duduk di tepi padang itu pasti penuh dengan pelajar. Tempat duduk itulah menjadi tempat bagi mereka samada ingin menghilangkan bosan di bilik, atau sekadar mahu berehat selepas bersenam. Tetapi tidak pada petang itu. Jadi peluang yang ada digunakan oleh Kamal untuk berbual dengan Anis yang baru pulang dari perbincangan berkumpulan dengan rakan sekelasnya. Kebetulan dapat berjumpa dengan Anis, niat Kamal untuk bermain bola pada petang itu terbantut. Anis duduk berseorangan di satu tempat duduk, manakala Kamal di tampat duduk lain di sebelahnya.

"Err.. Anis, Amal nak tanya sikit boleh?"

"Tanya apa?"

"Tak apa ke kita duduk berbual macam ni? Sebab dari apa yang Amal dengar, Anis sekarang dengan Aizad. Nanti kalau dia tau, jealous pulak."

Kamal bersuara dengan agak serius. Dia mengumpul kekuatan untuk memandang tepat ke mata Anis. Mahukan seribu kejujuran Anis dalam menjawab. Kali ini dia mahukan kepastian. Tidak mahu lagi dia bermain teka-teki tentang hubungan Anis dengan Aizad, seorang wakil sekolah dalam sukan sotfball dan aktif dalam kegiatan Kadet Polis. Jika benar Anis mempunyai hubungan istimewa dengan Aizad, mengapa begitu mudah bagi dia rapat dengan Kamal? Tambahan lagi, jarang sekali Kamal melihat Aizad berhubung dengan Anis.

Rakan-rakannya ada berpesan kepada Kamal agar tidak mengacau hakmilik orang. Tetapi bagi Kamal, selagi dia belum mendapat penjelasan dari Anis, hubungan antara Anis dan Aizad hanyalah sekadar gosip liar yang tidak tahu akan situasi sebenar. Ini semua kerana di mata Kamal, Anis sentiasa kelihatan bersama rakan karibnya Atiqah, manakala Aizad pula kelihatan seperti tidak serius.

Anis terdiam seketika. Pandangannya dilarikan ke arah lain. Agak lama dia memikirkan apakah jawapan yang paling sesuai untuk menjawab soalan Kamal. Dia mengambil nafas panjang sebelum berbicara.

"Iya, memang Anis ada hubungan dengan Aizad. Sejak minggu pertama orientasi lagi kami dah mula berhubung. Tapi sejak kebelakangan ni, Aizad mula mengabaikan Anis. Entahlah Amal, kitorang ni couple, tapi gayanya tak macam pasangan couple yang lain."

Kamal tekun mendengar. Dia bingung, serba salah untuk memberi sebarang respon. Risau akan menyakiti hati Anis.

"Anis harap, ini kali terakhir kita cerita pasal dia. Lepas ni Kamal tak perlulah tanya pasal dia lagi. Kalau ada, adalah. Tapi kalau dah sampai penghujungnya, Anis sendiri yang akan ceritakan pada Kamal."

Tambah Anis lagi.

Kamal diam.


(bersambung...)
Comments
0 Comments

0 orang tak puas hati: