Yang bukan dari kalangan pelajar universiti, dah ada yang buat kursus dekat UK. Dah ada yang kena kawad kaki dekat Sabah. Ada yang main bolasepak professional sepenuh masa. Ada yang dah ada perniagaan sendiri. Ada yang mencuba-cuba untuk menjadi kontraktor muda. Ada yang dah mula kumpul duit nak beli rumah. Ada yang baru dapat kerja. Ada yang kena berhenti kerja. Ada yang dah kahwin anak satu. Ada juga yang dah meninggal.
Yang dari universiti tapi telah pun tamat belajar, ada yang dah mula sibuk-sibuk buat resume. Ada yang bulan Ogos depan dah masuk kerja. Ada yang baring dekat rumah jadi anak dara. Ada yang turun ke laut cari hasil. Ada yang buat kerja part time. Ada yang lepak-lepak dekat uptown layan shisha. Ada yang sibuk melalak ajak main futsal. Ada juga yang berjaga sampai lewat pagi lepas tu merungut sebab terlepas interview kerja keesokan paginya.
Yang masih di universiti, ada yang dah buka bisnes. Ada yang buat sewa kereta. Ada yang buka kiosk makanan di hadapan dewan kuliah. Ada yang jual top up. Ada yang jual rokok. Ada juga yang separuh masa jadi pelayan di kafe.
Gua?
Gua rilek-rilek kat bilik, download movie puas-puas. Sambil tu dok tersengih sorang-sorang bila baca status Si Kelakar 1 yang letak lirik lagu Damasutra sebagai status jiwang dekat Facebook, manakala Si Kelakar 2 pula letak status emo.
Terasa cepat betul masa berlalu. Bukan dulu kau dan aku, sama-sama main layang-layang dekat padang ke?