Assalamualaikum!
Terlebih dahulu, saya nak minta maaf sebab dah lama tak update blog. Saya jarang dapat online kerana terlalu sibuk main "Pata Pon 2!" sejak kebelakangan ini. Dan sekarang, saya ambil sedikit kesempatan untuk menaip kerana resaksa ketam dalam game tersebut sangat susah untuk dikalahkan. Bayangkan, dari bangun pagi sehingga lah nak masuk tidur, saya cuba untuk mengalahkan resaksa ketam tersebut tetapi akhirnya gagal. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti main game sekejap. Kepada sesiapa yang ada tips untuk mengalahkan resaksa ketam, boleh hubungi...
...
... ah, panjang sangat intro.
Baiklah. Tajuk cerita saya pada hari ini ialah;
"Antara saya dan telefon bimbit, siapa lagi nakal?"
Saya mempunyai dua buah telefon bimbit. Satu untuk nombor Maxis, manakala satu lagi untuk nombor Celcom. Tidak, saya tidak mempunyai ramai makwe. Saya sebenarnya tidak mempunyai makwe langsung. Saya guna dua nombor untuk memberi kemudahan kepada rakan-rakan saya yang kadang kala bertindak kedekut, tak akan reply mesej selain kepada nombor yang sama operator.
Sikap kedekut ini, rakan-rakan, Haruslah dijauhi. Sila ambil serius pesanan saya, kerana seperti yang kita tahu, sikap kedekut adalah tidak selari dengan Rukun Islam ke-4, iaitu membayar zakat.
____________________________________________________________
Cerita 1: Cerita telefon bimbit Celcom.
Pada suatu petang yang damai, saya (yang semestinya tidak kedekut) dengan murah hatinya telah memberi sedekah sebuah telefon bimbit kepada ikan-ikan di tasik. Ini menunjukkan, tabiat memusing-musing telefon bimbit dengan jari semasa sedang duduk di atas jambatan tidak membuahkan hasil yang menggembirakan.
Saya mungkin gembira, jika yang terjumpa telefon bimbit saya itu ialah seekor ikan duyung yang cantik dan memakai bra cangkerang tiram, tapi dekat tasik mana ada duyung, kan?
Jadi kepada rakan-rakan yang guna Celcom, maaf, anda terpaksa hubungi nombor Maxis saya. Buang sikap kedekut anda itu.
Maka, tamatlah kisah telefon bimbit Celcom saya. Ada masa, nanti saya aktifkan kembali kad sim Celcom itu ya!
____________________________________________________________
Cerita 2: Cerita telefon bimbit Maxis.
Telefon Maxis saya pula, mempunyai satu tabiat buruk. Selain gemar mematikan diri sendiri secara tiba-tiba, telefon ini juga bijak menghubungi orang yang salah. Saya seringkali ditengking "Salah nombor lah!!" apabila ingin menelefon seseorang. Seringkali juga, saya mendapat reply "Salah send lah" apabila ingin mengirim SMS kepada rakan-rakan.
Malah, pernah suatu ketika, telefon ini dengan bijaksananya telah mengirim satu MMS gambar karpet rumah saya kepada seorang rakan. Iya, gambar karpet kabur. Saya syak, rakan saya sampai hari ini cuba untuk menduga apakah imej misteri dalam MMS saya itu.
Kepada Din, itu karpet rumah aku lah!
Okey, lupakan kisah MMS karpet.
Saya mempunyai seorang pujaan hati. Pujaan hati saya ini, perlu saya tekankan di sini, bukanlah kekasih saya. Walaupun saya sangat menyukai beliau, tapi beliau masih melayan saya seperti seorang kawan. Tapi saya tak kisah. Asalkan dia tak layan saya seperti seketul tahi.
Dan pada suatu malam, saya menghabiskan masa dengan berbalas SMS kepada pujaan hati saya, sambil baring membaca buku "Turki, Negara Dua Wajah: Pengkhianatan Ataturk terhadap dunia Islam". Setiap kali dia reply, saya tutup buku, baca SMS sambil tersengih-sengih dan mengirim SMS reply. Kemudian kembali membaca buku.
Sejak pemergian telefon bimbit Celcom, saya berhubung dengan si pujaan hati dengan menggunakan telefon bimbit Maxis. Iya, jelas sekali pujaan hati tidak kedekut, walaupun beliau menggunakan nombor Celcom. Rakan-rakan, sila contohi sikap pujaan hati saya.
Dari lewat malam sehingga awal pagi, kami terusan membalas SMS, sehingga saya dapat SMS;
"Nite ;-)"
Saya membalas SMS terakhir dari pujaan hati, dan kembali menyambung baca buku.
Tiba-tiba, entah dari mana datang akalnya, saya mengambil telefon bimbit seorang rakan bernama Leo di atas meja. Saya belek-belek telefon bimbit tersebut, dan saya berjaya mencetuskan satu idea yang paling bangang saya rasa sampai saat ini.
Saya merancang untuk menukar nama saya dalam contact list telefon bimbit Leo. Dari "Akmal 012", saya tukar kepada "Farah Baby 012". Kemudian, saya merancang untuk mengirim satu SMS dari telefon Maxis saya kepada Leo. SMS itu berbunyi begini;
"Hi baby.. buat apa?"
Iya, saya berniat nakal. Sengaja saya berbuat demikian, supaya dapat mengenakan Leo. Leo pada masa itu, sedang sibuk bermain game online. Mungkin dengan gurauan sebegini, saya dapat menghiburkan hati sendiri dan juga dapat menghiburkan hati Leo.
Tiba-tiba, saya dapat satu SMS.
"Heh?"
from: Pujaan Hati, 3.50am.
...rupanya, saya telah terhantar SMS "Hi baby.. buat apa?" kepada pujaan hati saya tadi.
Padan muka saya.