Tuesday, February 8, 2011

Terima kasih, dan maaf.

Baiklah. Ada benda yang mahu saya jelaskan di sini.

Iya, saya mengalami seminggu yang saya tak jangka seksanya. Saya tak ada sesiapa, secara literal. Seperti yang anda tahu, saya tidak dibenarkan balik sepanjang cuti. Beberapa hari sebelum bermulanya cuti, saya cuma mendapat SMS, "Mama dah masukkan duit RMsekian-sekian dalam akaun RHB". Terkilan, sedih, tapi tak mampu balas apa-apa selain "Terima kasih", saya kemudiannya matikan telefon.

Serius, kali ini saya tak rasa gembira dengan duit. Duit berjuta pun tak guna.

Jadi tak ada sesiapa dapat hubungi nombor Celcom saya. Biarlah, bagus lagi rasanya kalau saya buang semua orang. Sama saja kan, orang buang saya dan saya buang orang. Orang tak perlukan kita, apa guna kita nak terhegeh-hegeh pergi juga cari orang tu?

Mungkin, dalam situasi anda, anda akan kata, "Kau kan ada keluarga. Telefon la diorang kalau boring.". Sekarang, anda tahu sebab saya, kan? Iya, ini juga sebabnya saya tulis entri sebelum ini.

Saya sudah terangkan hal keluarga. Sekarang, kawan.

[ , ]

Saya, bukan seperti remaja normal yang anda kenal sekarang. Semenjak saya berada dalam tingkatan empat, saya tidak mempunyai ramai kawan. Saya tak benarkan sesiapa terlalu rapat dengan saya. Senang cerita, saya kecilkan bulatan pergaulan saya. Mungkin, itu salah satu cara saya menunjukkan tentangan saya terhadap abah. Iya, saya pernah berdendam dengan abah. Saya sebenarnya masuk ke sekolah baru semasa tingkatan empat itu, kerana dipaksa abah. Kalau boleh, saya mahu terus bersama kawan-kawan saya sejak saya masih tadika, sehingga saya di tingkatan tiga. Mereka, bagi saya, ialah kawan susah dan senang saya. Ada antara mereka, yang masih menjadi tempat saya mengadu jika saya mempunyai masalah sehingga sekarang.

Jadi sebagai tanda tidak puas hati, saya elakkan bergaul dengan orang lain. Saya pun tidak tahu rasionalnya tindakan saya ini, kerana abah bukannya kisah pun, saya ada kawan ataupun tidak.

Tanya saja, siapa yang jadi kawan baik saya semasa saya di sekolah teknik dahulu. Tak ada. Saya, lebih gemar habiskan masa di atas katil. Atau jalan-jalan sekitar padang pada waktu petang. Kadang-kala selepas waktu prep petang, saya duduk berseorangan di kelas. Menulis, dengar radio, atau tidur. Jika ada pun waktu saya kelihatan bersama rakan, mungkin semasa di dewan makan. Belajar sama? Study group? Maaf, jangan cari saya.

Sama dengan di matrik. Walaupun bulatan yang tersedia sememangnya kecil (satu bilik empat orang, satu kelas 30 orang), saya masih hadkan bulatan pergaulan saya. Saya bebas mahu ke mana-mana, walau dengan sesiapa atau berseorangan. Saya yang bawa diri saya, tanpa perlu berharap dengan orang lain. Ada kalanya saya menjauhkan diri dari kawan-kawan yang ada untuk mengelakkan kami terlalu rapat.

Kenapa? Terbiasa sejak sekolah teknik, mungkin.

Di universiti, saya cuba berubah. Saya tahu pentingnya kawan di kampus. Dunia kampus, lain dengan dunia sekolah. Lagipun, tak guna rasanya saya terusan berdendam dengan abah. Saya dipaksa masuk teknik, kemudian matrik, dan akhirnya tercampak ke sini, mungkin kerana abah juga. Jadi, saya cuba menganggap ini sebagai takdir.

Saya cuba cari kawan baru, dari sifar. Di sini, tidak ada seorang pun yang saya kenal (sebenarnya ada seorang rakan dari matrik, tapi saya tak bertegur sangat kerana dia ada lebih sibuk dengan rakan-rakan dia). Perkataan mereka, ayat mereka, satu pun saya tak faham. Nak bercakap pun susah. Segalanya, saya mulakan berseorangan. Minggu aluan pelajar, daftar subjek, pergi kelas, semuanya saya cuba buat sendiri.

Alhamdulillah, saya ada rapat dengan seseorang. Dia juga, mungkin seperti saya yang keseorangan. Cuma kelebihannya dia, dia orang tempatan. Baiklah, saya mulakan dengan dia. Cuba berkawan, cuba faham bahasa dia. Kami sekelas, tapi lain kolej kediaman. Jadi ada limitasi di situ. Ada upayanya dia, dia tolong saya. Sedikit fahamnya saya, saya ajar dia. Tapi saya sedar, dia ada hidupnya sendiri (ketika itu, dia masih bertunang), dan ada rakan-rakan sendiri. Dan saya sedar, kami ada beza 10 tahun. Jadi baiklah, mungkin saya bukan dalam liga dia. Apa-apa pun, terima kasih, Abang Faizan.

Saya cuba mencari kawan di kalangan rakan-rakan dari semenanjung. Masa ini lah, saya berkenalan dengan Faizal, Rasydan, Din, Black, Miji, dan ramai lagi. Seorang pun dari mereka, bukan dari tempat saya. Juga bukan rakan sekelas saya. Tapi tiga tahun bersama, saya hargai sangat kerana ada rakan seperti mereka.

Sementara itu, tipulah jika saya katakan, saya tidak mempunyai rakan di kelas. Iya, dari seorang budak yang tak ada kawan, saya besarkan jaringan sosial saya seluas yang boleh. Saya cuba bergaul dengan orang. Saya cuba belajar sepatah dua perkataan bangsa lain. Saya cuba cakap lorat pantai timur. Yang kelakarnya, saya cuba bercakap dengan perempuan.

Dan bila kebanyakkan rakan-rakan semenanjung saya sudah pun tamat belajar, saya cuma tinggal rakan-rakan tempatan di sisi saya. Satu perkara yang saya lupa, bila saya terlalu seronok berkawan, saya menjadi terlalu mengharap terhadap mereka. Saya akan perlukan mereka bila saya ada masalah. Saya akan mahu mereka sentiasa ada di sisi saya. Masalahnya, saya juga terlupa yang mereka ada dunia mereka sendiri.

Semua ini, saya tak nampak. Sehingga semester lepas.

Dan juga baru-baru ini, semasa cuti seminggu. Saya tak ada sesiapa dan apa-apa. Selepas tidak membenarkan diri dihubungi keluarga, saya kehilangan rakan-rakan yang pulang bercuti. Masa saya diisi dengan membaca buku, atau tidur. Jadi, saya baru sedar yang saya berada dalam tahap yang sangat-sangat perlukan kawan, dan tidak boleh berseorangan. Saya mula tak boleh tidur malam, dan tiada selera makan.

[ , ]

Jadi saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada kawan-kawan yang sentiasa bersama saya samada dalam susah atau senang. Yang sentiasa bertanyakan khabar kepada saya, yang sentiasa mengambil berat. Anda, adalah sebab kenapa saya masih tersenyum.

Dan maaf, jika anda terasa hati dengan sikap buruk saya. Saya yang anda lihat berjalan berseorangan itu, yang sentiasa jawab "Tak mahu" bila anda mahu ajak ke mana-mana itu, yang selalu elakkan dari bersama dengan anda 24 jam itu,

adalah saya yang dahulu.
Comments
3 Comments

3 orang tak puas hati:

Fittrie Husni said...

saya yang dulu?mai jom futsal..keh3

Leen LilDollius said...

terharu sungguh!!!

udez said...

kes ko terbalik ngan aku.ko dipaksa masuk sekolah lain,aku terpaksa stay kat sekolah yg rase cm hell.tp pasal kawan2 yg habis blaja pas 3thn tu same..sedih kan amik kos 4tahun..huhu