Cerita ni dah lama sebenarnya. Gua baru teringat nak cerita sebab gua baru lepas habis baca cerita-cerita hantu dekat blog orang lain. Power kan gua, baca cerita hantu sorang-sorang. Peh, dahsyat juga gua ni.
(okey alasan sebenar: gua taip cerita ni kerana gua tak dapat tidur setelah baca cerita-cerita hantu tersebut)
Seperti yang lu orang tahu, gua pernah dipaksa untuk menyertai sebuah sekolah teknik paling samseng dalam sejarah Malaysia. Lu orang pernah dengar semua budak lelaki dibuang asrama gara-gara warden terjumpa batang ganja dalam tandas asrama? Tak pernah kan? Samseng tak samseng la budak teknik gua. Muka semua macam nak cari gaduh. Tapi samseng-samseng mereka pun, goyang juga jika ditakdirkan untuk berjumpa dengan makhluk-makhluk halus ni.
Tahun 2005, di mana kami Form 5. Masa tu, dalam bulan 7 tak silap gua, satu sekolah tengah kecoh pasal kes budak asrama perempuan diserang histeria. Sikit-sikit histeria. Sikit-sikit histeria. Yang lelaki pun ada juga mengada-ngada nak kena histeria. Ada yang kata ini kes rasuk, sebab budak perempuan buang pad merata-rata. Tak kurang juga gosip liar yang mengatakan ada student bela hantu. Tapi sampai hari ni gua tak dapat terima bila ada yang kata, hantu di sekolah tu buat kacau sebab makin ramai student yang bercinta. Makin banyak kes kantoi surat cinta, kantoi dating dalam kelas dan kantoi comolot. Jadi hantu tu rasa benda-benda maksiat ni perlu dibendung dengan segera. Sebagai amaran, dia rasuk budak.
Pundek! Sejak bila hantu jadi ahli jawatankuasa biro agama woi?
Tapi dalam ramai-ramai student asrama yang tengah dalam ketakutan sampai tahap nak pergi kencing tengah malam pun mengada-ngada ajak teman, cuma ada seorang sahaja yang rileks. Namanya Ong-bak. Tapi itu bukan nama dalam kad pengenalan dia. Gua sendiri tak tahu dari mana dia dapat nama Ong-bak, memandangkan gua masuk asrama tu agak lewat (second intake). Masuk-masuk asrama, semua orang dah ada nama asrama masing-masing. Kacip lah, Garam lah, Meon lah. Tak senonoh semuanya.
Gua? Budak-budak dorm panggil gua Short (as in short-circuit), sebab minggu pertama masuk, gua dah buat benda-benda gila. Baru masuk dah nak bergurau dengan warden. (yela yela, selain tu gua dapat nama Short sebab gua pendek. Cipai.)
Ong-bak yang gua kenal, ialah seorang yang pendiam. Tak banyak campur hal orang, tak ikut merokok di tandas, tak ikut budak-budak Meon bergosip, dan juga seorang yang serius. Paling pelik, Ong-bak tak pernah tidur lewat. Sebelum jam 12 malam, dia mesti tidur. Sikap Ong-bak yang pendiam dan rileks masa scene hantu tengah nak up macam ni, menimbulkan persoalan.
Jadi pada suatu malam semasa Ong-bak sedang nyenyak tidur, gua bertanyakan hal ini kepada Aji. Aji merupakan ketua dorm kami, sebelum jawatan itu dirampas secara gila kuasa oleh gua. Dengan akur dan rendah diri, Aji memulakan cerita, sambil perbualan kami turut disertai oleh Bong. Kerana kami diwajibkan menutup lampu sebelum jam 12, jadi kami berborak dalam gelap.
"Ong-bak ni, aku dengar cerita ada sejenis ilmu silat. Silat harimau kot namanya. Tapi dia tak join kelab silat, sebab dia tak suka silat olahraga. Pernah senior kita ajak dia sparring masa orientasi dulu, tapi dia tolak cara baik. Sebab tu lah, sampai sekarang dia jadi pendiam. Dia tak nak orang lain tahu yang dia ada silat. Low profile, kata orang putih."
Gua angguk-angguk kepala mendengar cerita Aji. Kemudian gua geleng-geleng kepala pula bila melihat Bong sedang menggentel-gentel seluar dalam baru basuh yang disidai di penjuru katil. Gua tampar Bong agar dia segera menghentikan perbuatan tidak senonoh tersebut.
"Ilmu silat harimau ni, aku dengar, pengamalnya ada pantang larang. Antaranya ialah tak boleh tidur lewat. Lepas tu masa dia tidur, tak boleh diusik. Sebab kalau diusik atau dikejutkan masa dia tidur, 'semangat harimau' dalam badan dia akan mengamuk."
Sambung Aji lagi. Gua angguk-angguk kepala, sambil mendengar tekun cerita Aji. Ada juga rasa was-was tentang cerita dari Aji ni, tapi memandangkan wajah Aji sedang serius, jadi gua layankan saja.
*kreookkkkkkkkkkk*
Dengan tidak semena-mena, tiba-tiba pintu dorm kami terbuka perlahan. Gua dah seram. Katil gua merupakan paling dekat dengan pintu dorm. Kiranya kalau hantu serang dorm gua, gua lah orang pertama yang akan dicekik dulu.
Aji terdiam.
Bong dah kaget.
Kami bertiga pandang ke arah pintu.
Gua stenbai tarik selimut.
...
"Woi, korang ada bekas tak?"
Tiba-tiba muncul Ma'ie di sebalik pintu dan menuju ke arah katil kami bertiga.
"Ada tak? Cawan besar pun boleh jugak. Aku nak masak megi ni."
Soal Ma'ie lagi (namanya dibaca Mak-iy) setelah soalannya tadi tidak dijawab.
"Aku rasa Ong-bak ada kot. Tapi dia dah tidur. Ko pergi la try kejutkan dia."
Kata gua sambil cuba mengekalkan wajah serius. Ma'ie akur lalu pergi ke tepi katil Ong-bak. Dia menggerak-gerakkan bahu Ong-bak yang sedang lena tidur.
"Ong-bak! Ong-bak!! Ko ada bekas tak? Pinjam, aku nak masa..."
*bukkkkk!!!*
Dan tak lama lepas itu, Ma'ie keluar dari bilik kami sambil menggosok-gosok perutnya.
"Apa salah aku?"
Kata Ma'ie sambil mengaduh kesakitan akibat perutnya ditendang oleh Ong-bak yang masih terpejam matanya.