"Baru sampai Mal?"
Sapa Puan Zahira kepada anaknya sebaik sahaja membuka pintu pagar rumah.
"... jalan jammed..."
Kamal membalas lesu sambil menolak tutup pintu keretanya dengan siku. Tangan kanannya menjinjit beg kerja, manakala tangan kiri pula memegang sebuah kotak merah yang diterima dari Lisa sebentar tadi.
"Wah, anak mama dapat hadiah birthday ke hari ni? Dari siapa tu?"
Tidak perasankan nada lesu Kamal tadi, Puan Zahira sekali lagi bertanya apabila terlihat kotak merah yang dipegang Kamal. Sekadar untuk memulakan bicara, menceriakan suasana.
Puan Zahira kenal benar dengan perangai anaknya yang seorang ini. Terutamanya pada tarikh hari jadi Kamal. Tidak seperti kebanyakkan orang yang tersenyum ceria sejak jarum jam menunjuk tepat ke angka 12, hanya Kamal seorang sahaja yang kelihatan suram pada hari kelahirannya. Semuanya bermula semenjak tiga tahun lepas. Puan Zahira tahu segalanya tentang Anis, dan tentang derita yang ditanggung Kamal semenjak mendapat SMS terakhir dari Anis itu.
Tiga tahun lalu pada tarikh yang sama, seharian Kamal mengurung dirinya di dalam bilik. Dipanggil keluar, diajak makan, tetap tiada respon. Setelah puas Puan Zahira pujuk, barulah Kamal menjamah sedikit makanan. Itu pun sekadar tidak mahu ibunya risau. Kemudian Kamal segera kembali ke biliknya. Semua panggilan dari teman-teman rapatnya, tidak Kamal endahkan.
Puan Zahira mati akal. Pelbagai helah dan cara digunakan untuk membuatkan Kamal kembali tersenyum, akhirnya gagal. Tapi keesokan harinya, Kamal keluar bilik dan menjalankan aktiviti seharian seperti biasa. Cuma yang Puan Zahira perasan, tiada lagi senyuman dan hila tawa ceria Kamal sejak hari itu. Telatah ceria anaknya yang kelakar itu telah dirampas. Puan Zahiralah satu-satunya orang yang cuba menceriakan suasana di dalam rumah dua beranak itu.
"Dari kawan lama..."
Balas Kamal acuh tak acuh. Kalau diikutkan, mahu didiamkan sahaja, tapi dia tidak mahu hati ibunya terguris. Kakinya mula melangkah masuk ke dalam rumah.
"Iye lah tu kawan lama. Entah-entah makwe baru."
"..."
"Dah, pergi naik atas cepat. Mandi, lepas tu solat. Maghrib dah nak habis ni. Lepas tu turun, kita makan sama-sama ye. Mama tengah buat nasi ayam special untuk Amal, sempena birthday anak mama ni,"
Melihatkan gurauannya tidak mendapat sebarang respon dari Kamal, Puan Zahira segera menukar topik. Dia sedar, diam Kamal itu ialah jawapan paling sesuai untuk menjawab gurauannya tadi.
Di ruang tamu, langkah dua beranak itu terpisah. Kamal ke tangga untuk naik ke bilik, manakala Puan Zahira kembali ke dapur.
[ , ]
Selesai solat Maghrib, Kamal menghempaskan badannya ke katil. Tangan kanannya diletakkan di atas dahi, manakala matanya melirik halus ke arah sebuah kotak berwarna merah yang kini berada di atas meja dalam biliknya.
Dia tahu benar maksud isi kotak itu. Segala surat-surat, buku nota kecil, gambar dan hadiah yang pernah Kamal berikan kepada Anis, ada di dalamnya.
"Nampaknya memang dia tak mahu ada apa-apa kenangan pun dengan aku."
Kamal bermonolog sendiri sambil diselangi dengan keluhan halus. Dia bangkit, dan segera menuju ke tepi katil. Laci pada sebuah meja kecil di tepi katil itu ditarik. Terdapat sebuah kotak biru di dalam laci tersebut.
"Nah, kotak biru ni untuk awak, yang merah pula untuk saya. Dalam kotak ni, kita simpan semua kenangan kita, surat-surat kita. Awak jaga betul-betul tau, sebab satu hari nanti saya nak tengok surat-surat saya tu balik!"
"Cakap orang, entah-entah dia awal-awal lagi dah buang surat-surat kita. Maklumlah, tulisan kita buruk"
"Hey, tak tergamak lah saya nak buang! Walaupun tulisan awak tak cantik, tapi awak kelakar. Cukuplah sebagai pengubat rindu bila kita berjauhan nanti"
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Anis itu di telinganya. Setiap ayat dari mulut Anis mengalir deras dalam memori Kamal, seakan-akan ayat itu baru sahaja diucapkan semalam.
Kamal letakkan kotak biru itu di atas meja, bersebelahan dengan kotak merah. Sehelai demi sehelai surat dari Anis dalam kotak biru itu dibuka. Kemudian dicari pula surat balasannya dalam kotak merah. Lagak Kamal tak ubah seperti penyiasat upahan yang sedang menyiasat kes misteri.
Memang betul kata Anis, tulisan Kamal dalam suratnya memang kelakar. Bila dibaca balik, banyak ayat-ayatnya yang lucu. Tersenyum sendirian Kamal bila membaca surat-surat tulisannya sendiri. Kemudian barulah Kamal teringat, bahawa surat-surat itu ditulis untuk memujuk Anis yang sedang bersedih ketika itu.
Surat-surat dari Kamal yang disimpan Anis selama bertahun-tahun itu kelihatan masih terpelihara kertasnya. Jika sesiapa yang melihatnya, pasti tidak menyangka surat-surat itu disimpan semenjak mereka berada di bangku sekolah lagi. Sangat sempurna dan kemas lipatannya, kecuali pada beberapa tulisan pen biru yang mulai kabur, seakan-akan dititiskan cecair di atasnya.
Di penjuru atas sebelah kanan pada surat itu, tertulis tarikhnya. Tahun 2005. Sungguh tidak disangka sekali, begitu cepat masa berlalu. Dan apa yang paling Kamal tak sangka, penghujung kisah cinta yang mereka semai sejak di bangku sekolah lagi bukanlah seperti yang diharapkan. Semuanya kerana sepatah SMS yang seakan-akan menghancurkan segalanya.
[Kamal, saya nak awak lupakan saya. Saya dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga, walaupun saya tak rela, tapi saya tiada pilihan lain. Terima kasih, dan maaf, untuk segalanya.]
Pada mulanya, Kamal sangkakan Anis cuma bergurau. Jadi Kamal cuma membalas SMS itu ringkas;
[Wah, betul ke? Tahniah ye sayang. Tak sangka ye, awak kahwin dulu. Saya ingatkan saya yang kahwin muda :p]
Lama Kamal menunggu, tiada balasan dari Anis. Masih berfikiran positif, Kamal beranggapan bahawa Anis mungkin sibuk.
Pada malamnya, Kamal cuba menghubungi Anis. Menurut syarikat prabayar yang dilanggan Kamal, dia dibolehkan membuat panggilan percuma kepada teman-teman yang selalu dihubungi, sebagai hadiah hari jadi kepada pelanggan setia syarikat prabayar tersebut. Jadi dia merancang untuk bergayut panjang dengan Anis.
Dari jam 10 malam, sehingga dinihari, panggilan Kamal masih tidak berjawab.
Kamal tidak putus asa. Dihantarnya pula SMS, sekadar mengingatkan Anis bahawa hari ini ialah hari jadinya. Sekali lagi, penantian Kamal untuk mendapat jawapan dari Anis diakhiri dengan kekecewaan.
Keesokan harinya, sekali lagi Kamal cuba menghantar SMS kepada Anis. Pada hematnya, mungkin malam tadi Anis terlena sehingga tidak perasankan panggilan dan SMS yang masuk. Memandangkan Anis masih berhutang ucapan 'Happy birthday' dengannya, Kamal menaip SMS dengan nada merajuk.
[Good morning! Hey, kamu! Wah, seronok ye tidur malam tadi, sampai orang telefon pun tak jawab. Mentang-mentanglah saya dah tua setahun, terus tak nak layan ye? Orang tua mudah merajuk, tahu?]
Tapi masih, tiada balasan.
Begitulah tindakan Kamal sepanjang hari yang masih tidak putus-putus berusaha untuk menghubungi Anis. Setelah sejam SMS tidak dibalas, dia telefon. Berkali-kali telefon, masih tidak dijawab. Kemudian SMS dihantar lagi.
Dan hal ini berlarutan selama berhari-hari. Berbulan-bulan. Masih tiada jawapan dari Anis. Setelah puas memujuk dengan pelbagai cara, akhirnya Kamal akur. Mungkin SMS dari Anis itu adalah yang terakhir. Tapi Kamal masih tidak percaya Anis sanggup meninggalkannya tanpa khabar. Dan semenjak itu, Kamal tidak lagi bertanyakan khabar dari Anis. Cuma bila ada khabar gembira, Kamal tidak lupa untuk memberitahu melalui SMS.
[Penat sangat hari ini. Kan seronok kalau awak ada. Merata tempat kawan-kawan ajak bergambar. Maklumlah, hari terakhir kami bersama. Selepas konvokesyen ini, mungkin masing-masing dah bawa haluan sendiri.]
[Saya dah dapat kerja tetap di sebuah syarikat penerbitan. Alamatnya nanti saya beri kepada awak. Manalah tahu, kalau tiba-tiba awak tersesat ke sini, bolehlah saya belanja]
Kalau nak diikutkan, mungkin sudah beratus-ratus SMS Kamal kirim, tapi tidak satu pun dibalas. Iya, lagaknya tak ubah seperti orang gila bayang. Tapi bagi Kamal, biarlah orang mahu katakan dia gila pun, Anis masih berhutang satu penjelasan kepadanya.
"Amal, mari turun nak, makan!"
Jerit Puan Zahira dari tingkat bawah sambil menyusun lauk-pauk di atas meja. Kamal yang dari tadi bagaikan terawang-awang dalam lautan memori, segera tersedar. Surat-surat itu diletakkan kembali di atas meja. Kotak-kotak itu dibiarkan terbuka.
"Kejap lagi orang turun, ma"
Jawab Kamal sambil bangkit. Sejurus sebelum dia memulakan langkah ke pintu bilik, tiba-tiba matanya seakan-akan tertarik dengan sesuatu objek yang berada di dalam kotak merah yang diberi Anis.
Sebuah anak patung kecil, seakan-akan seekor anak kucing. Bulunya lebat dan halus, manakala anak matanya pula besar dan hitam berkilat. Bersama-sama dengan patung itu, terdapat satu tag kecil. Di atas tag itu tertulis "A & A, Forever in love"
Kamal pelik. Sepanjang dia dengan Anis, tidak pernah pula dia menghadiahkan anak patung itu kepada Anis.
"Bzzzztttt.... Bzzzzzztttttt..."
Kamal menoleh ke arah telefon bimbitnya yang berada di atas meja. Ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Kamal mengambil telefon bimbitnya, ditekan butang 'Jawab' dan didekatkan ke telinga.
"Assalamualaikum, Kamal"
"Walaikumsalam..."
"Dah dapat bungkusan berwarna merah dari kopitiam tadi?"
"Eh...? Errr... Dah..."
"Baguslah. Saya harap, awak faham apa yang saya cuba sampaikan. Dan tak perlulah terus menghubungi saya lagi selepas ini. Nombor lama tu saya dah buang. Pintu hati saya sudah dibuka orang, jadi sudah tiba masanya untuk awak menghadap ke pintu lain pula, Kamal."
"Tapi Ani..."
"Dan satu lagi, saya harap ini kali terakhir saya hubungi awak. Assalamualaikum..."
Panggilan ditamatkan. Kamal terkesima. Dengan segera, dia cuba mendail kembali nombor yang tidak dikenali tadi. Tapi dia kecewa bila mendapati bahawa pemilik nombor itu sudah mematikan telefonnya sejurus panggilan tamat sebentar tadi.
"Itu..."
Kamal kembali terduduk di atas katilnya. Dia seakan-akan keliru dengan situasi yang baru dialaminya.
"...bukan suara Anis!"
[bersambung...]