Ini cerita masa gua sekolah rendah.
"Akmal, apa kata kalau kamu masuk Rumah Merah je. Saya import kamu. Nak?"
Kata ketua pasukan Rumah Merah, Cikgu Mat Nor Sarip sambil menepuk-nepuk bahu gua beberapa jam sebelum acara lumba lari bermula. Cikgu Mat Nor Sarip ni, kiranya cikgu kedua paling garang di sekolah gua. Itu pun sebab dia dilantik menjadi cikgu disiplin sekolah gua masa tu.
Cikgu paling garang? Ofkos, cikgu matematik gua iaitu Cikgu Bob. Siapa dapat 49/50 dalam ujian, Cikgu Bob akan herdik sambil tarik kolar baju. Samseng kan?
"Taknak lah cikgu. Saya tak suka lompat-lompat parti ni."
Balas gua selamba, kemudian berlari manja ke arah kawan-kawan gua yang sedang menunggu di tepi padang. Main pijak kerengga. Cikgu Mat Nor Sarip mengetap bibir, tanda geram.
[ , ]
"Ingat, lepas dapat je baton tu, terus lari macam kena kejar lembu."
Arah cikgu Rumah Kuning, Cikgu Mat Nor Yunus kepada kami sekumpulan. Masa tu, gua menyertai acara lumba lari 4x200 meter. Sebenarnya gua tengah risaukan Yakop, salah seorang rakan sepasukan gua.
Yakop ni, bukan mat lari sangat. Selalu kalau waktu rehat, tak pernah pula Yakop join geng gua main kejar-kejar dengan Wong. Gua syak, Yakop guna orang dalam. Kecik-kecik dah main politik si Yakop ni.
[Wong; gadis brutal di sekolah gua. Siapa panggil-panggil nama dia, akan kena kejar. Psiko gila.]
Pertandingan bermula. Seperti yang dijangka terjadi. Yakop incas jadi pelari pertama. Gua pula pelari kedua. Masa Yakop serahkan baton kepada gua, dia berada pada kedudukan ketiga dari empat rumah sukan yang bertanding. Gua tengok di tepi trek, Pidaus Sabri dah sengih-sengih pandang gua.
[Pidaus Sabri; seorang atlit prolifik di sekolah gua masa tu. Dia merupakan pemenang Olahragawan Sekolah pada tahun itu. Gua bersaing dengan dia dalam tiga acara; lompat tinggi, lompat jauh dan 4x200 meter. Lompat jauh gua dapat emas, manakala dia menang lompat tinggi. Acara 4x200 meter ini merupakan acara penentu.]
Gua ambil baton dengan kasar dari tangan Yakop.
"Tak boleh harap. Semua benda nak kena gua settle. Lain kali lu join budak congkak!"
Tengking gua kepada Yakop sebelum memulakan langkah.
Gua kejar wakil rumah hijau, Emi Zenal Bidin. Emi Zenal Bidin merupakan penyerang bolasepak sekolah gua, wakil daerah. Kiranya dia antara idola sekolah la. Tapi entah syaitan apa yang merasuk gua masa tu, selamba sahaja gua pintas Emi Zenal Bidin. Sampai sekarang, gua masih ingat rupa terkejut Emi Zenal Bidin semasa dia dipintas. Tamat larian, gua berjaya rebut tempat pertama. Penyokong-penyokong perempuan Rumah Merah semua macam kena histeria.
[ , ]
Keputusan akhir, Rumah Merah dapat nombor satu. Kedua, Rumah Kuning. Pelari terakhir Rumah Merah, Pidaus Sabri berjaya pintas pelari terakhir pasukan gua pada beberapa meter terakhir.
Habis acara, Pidaus Sabri dan Cikgu Mat Nor Sarip pandang gua dengan nada sinis. Sebelum melangkah ke khemas Rumah Kuning, gua sempat menjerit;
"Tak guna! Ingat kau Pidaus Sabri! Lagi 11 tahun pada tarikh 09 Julai nanti, kita repeat! Kita buat pertandingan bersin! Siapa bersin paling kuat, dia menang! Kau kumpul orang-orang kau!"
Kini setelah 11 tahun berlalu. Gua tengah tak sabar nak tunggu 09 Julai ni. Lu tunggu Pidaus Sabri, lu tunggu!