Saturday, December 10, 2011

Malaysia 2061

Gua tengah tak tahu nak tulis apa.



Aidid yang sedang leka membaca akhbar di atas skrin meja ruang tamu tiba-tiba teringatkan sesuatu. Dia bingkas bangun dan mencapai beg pakaiannya yang sudah tersedia rapi dengan pakaian untuk dipakai selama dua hari di kampung nanti. Dia mendapat cuti selama dua minggu, tapi hanya dua hari dia mahu luangkan masa untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga besarnya di kampung. Jadi pada jam dua petang ini dia harus berada di Kuching.

Setelah tidak disentuh selama beberapa minit, skrin meja yang menyiarkan akhbar tadi tertutup dengan sendiri.

Dia mencapai jam pintar di atas meja. Usai mengenakan jam di tangannya, jarinya pantas menggelincir di atas skrin, mencari nama Xarra. Kemudiannya dia tekan butang 'Call'. Selang beberapa saat, panggilan berjawab.


"You dah kat mana ni?"


Soal Aidid sambil mengemas sedikit ruang tamu rumahnya. Mujur juga jam pintar jenama XinHuang ini mempunyai kualiti speaker dan mikrofon yang baik. Jadi dia boleh membuat panggilan sambil membuat kerja. Tidak seperti jenama Yobo, juga buatan China yang memerlukan dia meletakkan jam di hadapan mulut setiap kali mahu membuat panggilan.

Nokia? Sony? Samsung? Apple? Semua syarikat-syarikat besar itu telah jatuh dengan teruk kesan krisis politik dunia pada 9 tahun yang lalu. Amerika tumbang, bersama-sama dengan Israel dan negara-negara Arab yang mereka musnahkan akibat kebangkitan Negara-negara Keamanan, satu pergerakan anti-UN yang ditubuhkan secara rahsia oleh China dan Rusia dan kebanyakannya disertai oleh negara-negara yang selama ini berkecuali.

Kini, China menjadi kuasa terbesar dunia. Baik dari segi teknologi, politik, mahupun jaringan sosial. Baru-baru ini kerajaan baru sahaja meluluskan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Mandarin.


"Dah nak sampai lah, sugar. You tunggu je depan rumah. I'll be there in few minutes."


Kedengaran suara terkocoh-kocoh Xarra yang baru mendapat lesen memandu flies. Xarra anak orang kenamaan. Baru-baru ini sempena hari lahirnya, dia baru sahaja dihadiahkan firefly atau diringkaskan 'flies' jenis Photuris Lucy VI, keluaran terbaru syarikat gergasi Korea. Ciri-ciri rekaan terbaru ini lebih selamat untuk seorang gadis yang baru tahu memandu kenderaan udara seperti Xarra. Mujur juga tidak ramai yang mampu memiliki kenderaan ini di Malaysia Jaya, jadi ia sedikit melegakan Xarra.

Ya, Malaysia Jaya.

Satu nama yang diberi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Seri Hishamuddin Tun Hussein pada suatu ketika dahulu. Sambil mengekalkan nama Malaysia, negara ini telah dipecah menjadi dua nama; Malaysia Jaya dan Malaysia Raya. Tiada lagi istilah semenanjung dan Borneo. Semuanya bermula sejak krisis 13 Mei 2021.


[bersambung...]
Comments
0 Comments

0 orang tak puas hati: