Masa gua buat program internship dekat satu syarikat telekomunikasi, ada satu brader ni, diserap masuk dalam satu bahagian baru dalam kompeni, iaitu bahagian IT. Brader ni handle server internet kompeni, hal-hal antivirus, hal-hal laptop staff dan banyak lagi kerja lain yang berkaitan kompiter.
Gua panggil brader ni Borhan.
Isu terdahulu dalam kompeni, terdapat aduan dan kompelin dari ramai staff kerana capaian internet yang sangat lembap. Hasil penyiasatan, mereka mendapati ada beberapa IP address yang aktif men-download. Download apa, gua tak pasti. Sehinggakan semua staff diberi emel amaran untuk mengehadkan download semasa waktu pejabat. Ini lumrah, hampir semua syarikat mengalami masalah serupa.
Pada suatu hari, owner kompeni beralih dari Streamyx ke Unifi untuk mendapat capaian internet yang lebih pantas. Beberapa hari selepas pemasangan Unifi, owner kompeni bertanya kepada Borhan tentang kelajuan internet yang baharu ini.
"Borhan, macam mana dengan Unifi?"
Tanya Dr. K, pemilik kompeni.
"Bagus Dr., setakat hari ini senang-senang je kita dah berjaya download 10 Gb!"
Jawab Borhan dengan yakin dan bangga.
Keesokan paginya, satu lagi emel amaran dikeluarkan kepada semua staff.