(Sekadar gambar hiasan)
Tadi gua dengan kawan-kawan pergi main futsal. Macam cilaka punya stamina. Baru main 20 minit dah semput. Dan ada lagi 1 jam dan 40 minit untuk dihabiskan. Masa ni lah segala penyesalan timbul, apabila gua menolak tawaran rakan sekelas (Leo dan Erich) untuk pergi ke gimnasium, mantapkan stamina.
(Ceh poyolah korang! Jalan-jalan dengan budak perempuan, naik 'jambatan cinta', siap pasang hajat nak main kayak pulak... Gim kejadahnye macam tu?)
Oh dah lari topik. Kalau cerita pasal budak dua orang tu, memang tak berhenti menaip la gua.
Jam 10pm, kami selesai bermain futsal. Masing-masing dah tak mampu bernafas lagi. Pancit. Masing-masing dah tua agaknya. Gua rileks je masa ni. Pernafasan gua dah kembali normal setelah berehat dengan agak lama di tiang gol. (wahaha jadi goalkeeper beb! Bola datang, gua lari) Cuma gua kusut sikit, bila memikirkan perihal rembatan-rembatan padu yang singgah di paha, punggung, ginjal kanan, dan banyak lagi tempat di tubuh gua yang mungkin akan meninggalkan kesan lebam.
Di kaunter pembayaran tempat futsal tersebut, terdapat seorang makcik dan awek cun. Gua syak awek cun ini adalah sebahagian dari business plan tempat futsal tersebut. Dengan adanya awek cun di kaunter, si tokey merasakan bilangan pelanggan akan bertambah.
Tapi sayang, 'awek cun' yang gua maksudkan ini mempunyai raut wajah yang saling tak tumpah seperti pemain Brazil, Ronaldinho. Siap pakej rambut kerinting lagi.
Makcik yang selalu berada di kaunter tersebut pula agak tua. Dari segi gerak badan, alunan suara dan lenggok tubuh, gua dapat meneka yang makcik ini sebaya dengan mak gua, dalam 50-an. Dulu, makcik ni hanya berpenampilan agak simple. Pakai baju T-shirt 'Visit Kuching', kain batik, dan sepasang sandal. Gaya tipikal seorang makcik di kampung. Rambut pula kerinting, sama seperti Noradinho ('awek cun').
Tapi sekarang, makcik ini dah bertudung litup. Siap dengan stokin lagi. Gua terperanjat betul masa tengok makcik tu tadi. Dah dapat hidayah agaknya. Alhamdulillah la, dah berubah. Iya lah, umur pun dah senja, kira sesuai sangatlah. Sejak kebelakangan ini, ramai betul yang gua tengok dah berhijrah dari keburukan kepada kebaikan. Cuma silapnya, baju makcik masih lagi T-shirt lengan pendek.
Sedang gua dan kawan-kawan berbual-bual di tepi gelanggang, si makcik lalu sambil memegang penyapu. Mungkin dia mahu menyapu di kawasan sekitar court. Tiba-tiba, gua rasa terpanggil untuk berbicara dengan makcik tersebut.
"Wah makcik, dah tukar fesyen ye. Dah pakai tudung, siap dengan stokin lagi,"
Jawapan yang gua terima dari makcik sangat simple.
"Oh makcik bukan apa, cuma sekarang ni makcik dalam pantang. Baru bersalin hari tu,"
Gua terdiam. Dari raut wajah yang selamba, gua tak rasa si makcik sedang bergurau.
"Makcik belum menopous ke?"
Gua tertanya-tanya di dalam hati.