Tuesday, August 18, 2009

Metafora untuk kamu.

Dulu, lepas UPSR tak silap gua, budak-budak sebaya gua masa tu memang gilakan basikal. Kalau dulu ada musim main guli, main layang-layang, musim gasing, musim main mercun (bulan puasa), musim main biji getah, musim panjat pokok dan macam-macam musim lagi. Tapi musim yang gua nak highlight dalam post kali ni ialah musim main basikal. Kepala hotak lu, musim Beyblade tak ada lagi masa tu. Tahun akhir 90-an. Sana sini budak yang ada basikal mengayuh sambil lepas tangan. Lepas tu brek seret tayar belakang. Nak lagi advance, angkat tayar depan sambil mengayuh sampai hujung jalan/ sampai tergolek. Fuh, memang cool dari pandangan mata gua. Justeru, gua memasang hajat untuk memiliki sebuah basikal. Masa tu gua tak ada basikal lagi. Abang dan akak gua je yang ada.


Gua mulakan langkah dengan pergi ke dapur. Gua jumpa mak gua. Dan tanpa membawa sebarang surat rayuan, gua terus memulakan langkah pertama misi gua; memohon untuk dibelikan sebuah basikal dari Puan Zaharah. Jawapan pantas yang gua dapat ialah gelengan kepala yang selamba. Tapi gua tak kisah. Nak berjaya, jangan putus mencuba kali pertama.

Semasa makan, sekali lagi gua utarakan benda yang sama. Kali ni dengan hujah yang kukuh. Sengaja gua ceritakan tentang basikal Zarul, Yop, Najib, dan Botak depan mak gua. Encik Mahfar sekadar mendiamkan diri, pura-pura fokus dengan makanan yang terhidang. Kali ni, jawapan yang mak gua beri lebih jelas.

"Buat apa kau nak pakai basikal? Kau pergi sekolah pun naik bas. Mama tak ada duit. Duit kau yang kat dalam bank tu pun mama simpan untuk kau belajar,"

Kali ni gua diam.

Akan tetapi, satu perkara yang boleh gua banggakan tentang ibu bapa gua, mereka tak pernah menghampakan anak-anak mereka. Walaupun sesuatu permintaan itu pada awalnya ditolak bulat-bulat dengan pelbagai alasan, tapi selepas satu tempoh, mereka akan berlembut hati. Jadi selama tempoh itu, gua menunggu penuh harapan.

Dan penantian gua berbaloi.

Pada suatu malam, Encik Mahfar dan Puan Zaharah mengajak gua untuk pergi ke kedai basikal. Mereka suruh gua pilih apa jenis basikal yang gua mahu. Gua terkejut. Teruja. Dengan perasaan teruja itu, gua pilih sebuah basikal yang budak-budak lain tak ada. Mereka sibuk main basikal BMX, basikal jipang (betul ke macam ni sebutannya?) customize sendiri, gua pula dengan sebuah basikal mountain bike yang sangat bergaya. Bergaya sebab ada sistem shock absorber pada kedua-dua tayar. Gua puas. Puas hati. Sebab dapat berbangga dengan kawan-kawan yang lain.

Tapi tak lama. Seperti musim-musim yang lain, musim basikal berakhir tak lama selepas itu. Budak-budak dah tak main basikal. Dah tak ada lagi lumba-lumba. Tak ada angkat tayar depan. Dah tak pegang spanar. Entah musim apa lepas tu, gua tak ingat. Tapi kerana itulah, gua lupakan terus keinginan gua untuk berbasikal. Gua tinggalkan basikal tu, tersadai di rumah. Sampaikan berkarat badannya, tayar pancit, skru hilang pun gua buat tak kisah.

Dan setelah sekian lama tak berpusing rodanya, pada suatu hari, gua dapati basikal gua hanya tinggal besi. Tayar, tempat duduk, gear, spring semua hilang. Entah malaun mana yang ambil, gua tak tahu. Apa yang penting selepas itu, gua sedar. Gua seorang anak yang jahat. Tak umpamakan duit ibu bapa. Cepat lupakan janji. Cepat lupakan segala usaha dan kata-kata manis yang pernah gua buat untuk dapatkan basikal itu. Gua berasa malu, terkilan dengan kebodohan sendiri.

Tapi itu dulu. Sekarang, gua tengah sayang sesuatu. Bukan basikal. Bukan objek tak bernyawa. Tapi dia adalah seorang manusia bernadi. Perempuan namanya. Ada hati, ada perasaan. Perasaan minat untuk mendapatkannya sangat mendalam, sama seperti masa gua nak dapatkan basikal itu dulu.

Dan kalau hati dia terbuka untuk gua, gua akan berdoa. Semoga kebodohan gua seperti dulu tu tak berulang lagi. Semoga sayang ini berpanjangan. Semoga tak ada yang mahu mencurinya ketika gua sedang leka. Dan semoga gua takkan terleka.

Aku sayang kamu, faham?
Comments
2 Comments

2 orang tak puas hati:

Aku said...

pergh...en.akmal..jatuh cintakah kamu?
Syabas...(^_^)

Encik Akmal said...

haha... *blush*