Baiklah adik-adik, dalam episod kali ini, saya akan menerangkan tentang kerja-kerja rasmi yang kami sepatutnya buat di sana. Bagi memudahkan cerita, saya ringkaskan di sini bahawa terdapat masalah komunikasi antara 2 site iaitu di Kuala Kangsar, dan di Taiping.
Sekarang, kami di Kuala Kangsar. Namun, setelah segala pemeriksaan dijalankan, masih terdapat masalah. Dan kami syak site di Kuala Kangsar tidak mempunyai masalah, tetapi pada site yang di Taiping. Jadi, Daus mengambil keputusan untuk ke Taiping, meninggalkan saya seorang diri bersama brader dari Alcatel.
Mari kita namakan brader dari Alcatel ini sebagai 'brader Alcatel'.
Sementara menunggu Daus sampai ke site, saya bersama brader Alcatel hanya lepak-lepak di mamak. Brader Alcatel minum, saya minum. Brader Alcatel makan, saya pun makan. Brader Alcatel jawab telefon, saya usha awek. Kadang-kadang kami berbicara tentang soal masalah sosial dan ekonomi negara. Selain itu kami sempat juga bercerita tentang hal-hal yang tak berapa ekonomik seperti ajaran Freemason, di manakah Ayah Pin dan Kristine Hermosa. Kadang-kadang sambil bercerita, brader Alcatel tendang kerusi dan menghempas tangan ke meja. Memang bersemangat. Saya pun tidak kurangnya. Kadang-kadang sambil mendengar cerita, saya tertidur.
"Hah, kat sebelah sana ada Cyber Cafe. Jom kita masuk Cyber Cafe dulu sementara tunggu kawan kamu tu sampai ke site sana."
Ajak brader Alcatel setelah sekian lama berborak.
"Saya ada emel nak kena hantar ni,"
Tambah brader Alcatel lagi. Saya cuma mengangguk, lalu bangun mengikut brader Alcatel masuk ke Cyber Cafe.
***
[Setelah 1 jam]
***
Saya tengok-tengok henset saya yang sekian lama menyepi. Saya tengok tarikh. Alamak! Saya terlupa sesuatu yang penting! Sila rujuk di sini untuk maklumat lanjut.
Saya terus mesej orang-orang yang berkenaan. Settle.
Tidak lama selepas itu, saya yang duduk di PC sebelah dah mula tersengguk-sengguk. Mengantuk. Saya tengok brader Alcatel masih sibuk di hadapan PCnya. Saya tengok belakang, adik-adik yang baru nak 'up' tengah main Counter Strike. Mesti adik ni peminat Arsenal FC. Saya toleh pula ke kiri, iaitu ke PC yang paling hujung, ada brader sedang menatap skrin yang penuh dengan warna cokelat. Saya geleng kepala.
"Boleh tahan juga lamanya brader Alcatel ni nak hantar emel."
Getus saya di dalam hati.
Saya cuba untuk pandang ke arah skrin brader Alcatel pula. Kalau boleh, saya cuba untuk mengelak untuk sibuk-sibuk, tapi kerana lama sangat, timbul rasa ingin tahu apakah jenis emel yang cuba dihantar oleh brader Alcatel sehingga makan masa selama sejam.
Saya toleh ke kanan.
Saya memanjangkan leher.
Saya dapat lihat skrin PC brader Alcatel dengan jelas.
Di atas kiri skrin PC itu, saya tengok ada perkataan:
'Facebook'.
Saya tengok brader Alcatel tersengih-sengih.
Sumpah, saya rasa macam nak tendang orang. Nasib juga adik yang main Counter-Strike tadi dah balik rumah.
(bersambung...)