Terlebih dahulu, saya nak minta maaf kerana telah sekian lama tidak ber-blog. Bilangan follower semakin berkurang, mungkin kerana kecewa kerana tiada sebarang update dari saya. Biarlah, saya tidak pernah berniat mahu mengumpul follower yang ramai. Dan baru-baru ini, saya telah set kan blog ini kepada private. Sekali lagi, saya minta maaf. Tiada agenda tersembunyi sebenarnya. Saya tak ada niat mahu mengutuk sesiapa menerusi blog (Nur Akmal Khamisan special case). Saya tutup blog ini buat sementara waktu kerana saya khuatir sesuatu berlaku kepada saya, dan saya tak sempat menutup blog ini. Anda faham kan maksud saya?
Masih tak faham?
Begini. Sejak kebelakangan ini, saya jarang turun kelas. Rasanya, hampir seminggu saya tidak jejakkan kaki ke fakulti. Bukan sengaja sebenarnya. Saya banyak habiskan masa di atas katil, tapi bukan untuk tidur. Sebenarnya, saya sedang melawan sesuatu. Sesuatu yang saya sendiri tak jangka akan hadir.
Selain kurang tidur, saya juga mulai kurang selera makan. Sehari, saya cuma makan sekali sahaja, iaitu pada waktu malam. Dari pagi sehingga malam, saya habiskan masa di dalam bilik. Ah, rindu pula pada cahaya matahari. Iya, saya dah jarang keluar bilik. Satu-satunya waktu saya keluar bilik, ialah pada waktu malam, iaitu waktu makan. Saya tahu, walaupun tiada selera, saya perlu makan.
Dan kesannya, badan saya mulai susut. Kurus. Ramai kawan-kawan di sini yang sedar akan hal ini. Ramai juga yang menegur, tapi saya cuma menjawab dengan senyuman. Saya tahu mereka bimbang, tapi kalau saya cerita masalah sebenar, orang akan simpati. Saya tak perlukan simpati orang. Yang saya perlukan ialah kekuatan.
Iya, cuma kekuatan yang saya perlukan. Tapi, sehingga kini saya masih mencari kekuatan itu. Saya cuba mencari kekuatan itu dari semua orang, termasuk kedua orang tua saya. Saya hubungi mereka, dan saya beritahu mereka masalah yang saya hadapi. Seperti yang saya jangka, mereka akan memarahi saya. Tapi di hujung talian, mereka sempat berpesan kepada saya untuk berjumpa dengan doktor untuk mengetahui masalah sebenar yang saya hadapi.
Jadi, mungkin ada antara yang membaca ini seringkali terserempak dengan saya di sekitar klinik Unimas. Jika boleh, saya mahu mengelakkan diri dari berjumpa dengan sesiapa yang saya kenal. Tapi kalau dah terjumpa depan mata, apa boleh buat. Jika ada yang bertanya, saya cuma jawab dengan senyuman, seperti biasa.
Malangnya, setiap kali saya berjaya menjejakkan kaki di muka pintu klinik, pasti akan ada sesuatu yang menarik saya untuk pulang. Saya khuatir, sekiranya jawapan dari doktor kurang memuaskan. Apa yang saya boleh harapkan, ialah berfikiran positif.
Berfikiran positif, mungkin selera makan saya akan kembali tak lama lagi. Positif, mungkin waktu tidur saya akan kembali normal. Positif, mungkin tubuh saya kembali cergas seperti sediakala. Apa yang saya perlukan, seperti yang saya katakan tadi, kekuatan.
Malangnya, semakin tinggi harapan positif yang saya letakkan, semakin jauh kekuatan yang saya cari meninggalkan saya. Saya semakin teruk. Tidur semakin tak teratur, makan semakin kurang. Kadangkala, saya cuma boleh kenyang dengan segelas air. Saya cuma mampu bersyukur, yang saya mampu hidup sehingga entri ini ditaip.
"Kau sakit ke?"
Ini adalah satu-satunya soalan yang paling banyak saya dengar sejak kebelakangan ini, dan satu-satunya soalan yang belum saya mampu jawab. Selalunya saya pilih untuk berdolak dalik, atau mengubah topik.
Tapi kali ini, rasanya tidak perlu untuk saya simpan lagi. Sudah tak mampu rasanya untuk saya sorokkan dari kalian. Sakitnya terlalu dalam untuk saya tanggung seorang diri. Jadi saya mengambil keputusan untuk memberitahu kepada anda tentang sesuatu yang menghantui saya sejak kebelakangan ini. Sesuatu yang kawan-kawan rapat saya pun tak tahu. Iya, saya terlalu takut untuk beritahu mereka secara berdepan, jadi saya cuma boleh beritahu di sini, di blog saya sendiri.
Mungkin saya kelihatan ceria sekiranya anda terlihat saya di mana-mana. Mungkin saya mampu membalas komen-komen rakan-rakan di Facebook dengan seloroh. Mungkin saya kelihatan sibuk dengan urusan pelajaran di library. Tapi sebenarnya, setelah saya kaji simptom-simptom yang saya hidapi ini, rupanya saya adalah penghidap penyakit 'itu'.
Penyakit yang semua orang mahu elakkan.
Penyakit yang mampu menyerang sesiapa, pada bila-bila masa, tanpa mengira usia.
Penyakit itu ialah.....
*kumpul segala kekuatan*
IT'S BIEBER-FEVERRRRRRR!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
"And i was like, Baby, baby, baby ohh. Like baby, baby, baby noo. Like baby, baby, baby ohh. I thought you'd always be mine, mine"
P/s: Dah, tak payah sibuk-sibuk tanya pasal gua. Gua bizi baca buku. Ada masa nanti gua blog lagi.