Beberapa hari yang lepas gua dan Leo ada berbincang mengenai fasa-fasa kehidupan yang biasanya dilalui oleh kebanyakan lelaki. Ini kerana Leo dah mula melalui salah satu dari fasa tersebut.
Fasa pertama ialah fasa persekolahan. Pada fasa ini, lelaki-lelaki putih macam gua (iye, gua dulu putih) ditugaskan untuk bermain segala jenis permainan sampai kulit hitam. Tak ada yang nak difikirkan sangat semasa dalam usia semuda ini. Perkara paling serius pun yang nak dibincangkan sesama rakan sebaya, mungkin mengenai Dragon Ball.
Pada fasa ini, jaringan sosial lelaki masih berada dalam satu bulatan kecil, iaitu di sekitar kawasan kejiranan sahaja. Walaupun satu kampung, tapi mereka membentuk geng-geng kecil yang tak akan bercampur sesama sendiri. Geng Meon, lepak dengan geng Meon. Budak-budak geng Abdol tak boleh campur.
Fasa kedua ialah di zaman remaja, yakni sekolah menengah. Pada masa ini, biasanya budak-budak lelaki dah mula mempunyai darah jenis R iaitu Rempit. Tapi tak semestinya semua lelaki merempit pada fasa ini. Bagi yang tak merempit, mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang sama thrill seperti hisap rokok dalam tandas perempuan, pukul budak hitam, fly asrama, memberi gelaran kepada cikgu-cikgu garang, dan yang paling thrill, aktiviti meminta nombor makwe kelas sebelah dan bermain SMS.
Semasa melalui fasa ini, lelaki biasanya sudah ramai kawan. Tetapi masih, dalam kawasan satu kampung. Kalau mereka bertembung dengan budak-budak kampung lain, biasanya darah R akan mendorong untuk mereka bergaduh. Pada fasa ini juga, lelaki-lelaki sudah pandai mengorat makwe. Dan kalau gaduh, sebabnya dua sahaja. Biasanya sebab kes curi, atau kes curi makwe.
Sekadar gambar hiasan.
Fasa seterusnya ialah zaman kolej/poli/universiti/rumah sewa. Pada fasa ini, kebanyakan lelaki mempunyai kawan-kawan baru. Pelbagai jenis lelaki dari seluruh Malaysia akan berkumpul dan mereka mesti bijak memilih kawan. Ada kawan jenis mat buku, mat komputer, mat tidur, mat fit, mat bong, mat rempit, mat kencing bersepah, mat band, mat jiwang, mat video game, Mat Sabu, dan ada juga jenis mat selam handphone orang dalam poket sendiri.
Semasa berada dalam fasa ini, biasanya jaringan sosial dah mula membesar. Ada yang dah pandai cakap Kelantan, cakap Negeri Sembilan, dan tak kurang juga ada yang dah pandai cakap bahasa lembut. Iya pada fasa ini, pondan-pondan seluruh negara mula berani menyuarakan ideologi masing-masing tanpa rasa malu. Tak, gua tak ada masalah dengan pondan. No offense, pondans.
Fasa keempat ialah fasa yang dilalui oleh Leo sekarang iaitu fasa pasca-graduasi. Pada fasa ini, seseorang lelaki perlu pilih samada mahu mencari kerja atau pura-pura mencari kerja. Pura-pura cari kerja ni tak susah. Bila orang tanya bila nak kerja, jawab saja "Esok mungkin nak pergi walk-in interview" walaupun sebenarnya esok lu orang plan nak tidur sepanjang hari. Tapi bagi lelaki yang sememangnya perlukan duit dan bosan di rumah, biasanya mereka akan pilih untuk melakukan kerja-kerja sambilan. Ini juga bagi mengelakkan bebelan dari keluarga di rumah.
"Papa bagi masa tiga bulan. Kalau Soul tak dapat kerja dalam tiga bulan,
Papa mahu Soul kerja dengan Papa." -sekadar gambar hiasan.
Pada fasa ini, lelaki-lelaki sudah mula merasai satu imbangan yang perlu mereka jaga. Samada kerja, atau kawan. Kalau kerja kuat, kawan hilang. Kalau selalu sangat lepak dengan kawan sampai pagi buta, kerja pula tak jadi. Sebab tu ada lelaki yang jenis tukar-tukar kerja. Video game? Futsal? Makwe? Semua benda ni dah boleh tolak tepi. Contoh gua sendiri, masa gua kerja sambilan dahulu, tak putus-putus kawan ajak berjumpa. Sehingga pada satu ketika gua terpaksa bertindak adil dengan menolak ajakan semua orang dan balik rumah tidur kerana tekanan kerja. Leo juga, sudah lama gua tidak nampak dia berbalas SMS secara sembunyi-sembunyi. Main online game pun macam dah tak reti.
Di hujung perbincangan kami yang mengambil masa beberapa minit sebelum gua tertidur, kami sama-sama setuju yang fasa seterusnya lebih menggerunkan iaitu fasa pasca-perkahwinan. Pada fasa ini, semua aktiviti-aktiviti semasa bujang akan dicatu. Semua ajakan akan dibalas dengan respon "Bini aku tak bagi" atau "Anak aku takde orang nak jaga". Bak kata Leo, kalau ada kawan satu geng yang dah kahwin, anggap sajalah dia dah tak ada.
kah kah kah!
P/s: UPDATE!
"Mengikut kajian, ramai lelaki yang mula mengenali diri mereka pada usia 27 tahun. Contohnya, jika mereka merasakan mereka gay tetapi merasanya itu ialah isyarat yang salah (false alarm), pada usia 27 semua sifat itu akan terserlah. Sama ada mereka akan mula tertarik pada perempuan, atau mula serius dengan pasangan gay nya. Seolah-olah satu kehidupan telah mati, manakala satu lagi terus hidup. Lelaki juga susah untuk mengaku tersalah buat keputusan setelah usia mereka mencapai 27 tahun. Dan pada usia ini juga, mereka akan teringat keputusan-keputusan bodoh yang mereka pernah buat pada masa lampau."