Sunday, December 11, 2011

Malaysia 2061 (part II)

Barai, gua dah mula buat cerita bersambung lagi. Ini part I.


Pada 2018, Malaysia bergolak dengan krisis. Ketua pembangkang, Datuk Nurul Izzah Anwar antara suara yang paling lantang pada ketika itu. Beliau mendesak kerajaan supaya menurunkan harga minyak yang mengalami kenaikan konsisten sejak kejatuhan negara-negara Arab, dan Parti Islam SeMalaysia pula mahukan kerajaan melaksanakan hukum hudud yang diperjuangkan mantan ketua mereka, Tuan Guru Nik Aziz beberapa dekad yang lalu.

Masyarakat Malaysia berpecah belah. Jika mengikut nisbah, tiada lagi sokongan 2/3 dari rakyat terhadap kerajaan. Sesama Melayu juga tidak bersatu padu; ada yang perjuangkan ketuanan Melayu, ada yang perjuangkan ekonomi rakyat bawahan, ada juga yang berdebat tentang relevan antara Islam liberal dan Islam sunni.

Bekas Perdana Menteri yang tertekan, Tun Seri Ali Rustam telah mengambil keputusan untuk mengumumkan pembubaran parlimen dan negara akan mengalami satu lagi peristiwa bersejarah, iaitu Pilihanraya Umum.

Aidid masih ingat cerita ayahnya. Pada masa itu dia belum lahir. Ayahnya, seorang penuntut universiti di Amerika terpaksa pulang ke Malaysia kerana ancaman pengganas yang semakin berleluasa di sana kesan kejatuhan ekonomi negara-negara Arab.

Sementelah pulang ke tanah air, keluarga ayahnya yang tinggal di Putrajaya menyaksikan sendiri bagaimana rakyat berhimpun di depan kompleks-kompleks kerajaan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, hampir setiap hari.

Ada sahaja isu yang dimainkan. Harga minyak, kedudukan negara dalam kegawatan ekonomi global, kekurangan bekalan makanan, hak setara antara kaum, pendidikan, hukum hudud, dan banyak lagi. Mentaliti rakyat menjadi sangat tidak stabil. Setiap kali akhbar mengeluarkan kenyataan, beratus orang berhimpun.

Namun ada juga yang mengambil pendekatan berkecuali. Keluarga ayah Aidid adalah antara yang berkecuali, hanya duduk di rumah ketika berlaku kekecohan, dan keluar ke tempat kerja setelah keadaan reda. Mereka ini samada penyokong kerajaan, ataupun yang masih tidak mahu mengambil peduli dengan senario kegawatan negara pada masa itu.

Ayah Aidid yang selama ini belajar di luar negara, berasa terkejut dengan situasi ini. Dia tahu, ada sesuatu yang tidak kena.

Hasil pilihanraya umum ke 14, BN telah tewas mengejut. PKR, PAS dan DAP mula memegang pemerintahan negara. Buat pertama kalinya, UMNO, MCA dan MIC menjadi pembangkang. Buat pertama kalinya juga, negara mempunyai Perdana Menteri wanitanya yang pertama, Datuk Seri Nurul Izzah Anwar.

Markas PKR mula berpindah dari Selangor ke Putrajaya sebagai kerajaan yang baru. Sementara itu, Pusat Islam turut dibina di Kelantan, di mana segala musyawarah dijalankan oleh mufti. Pada masa itu, Pusat Islam menjadi komponen penting dalam kerajaan merangka sesuatu undang-undang di mana pihak mufti berkuasa untuk memindanya. Hukum hudud mula dilaksanakan, tapi tidak sepenuhnya.

Sebagai permulaan, kerajaan meluluskan undang-undang baru untuk pemakaian. Wanita Islam yang keluar rumah diwajibkan memakai tudung, dan pemain bolasepak diwajibkan memakai 'long tight' di dalam seluar pendek. Manakala yang bukan Islam pula wajib berpakaian sopan - baju tanpa lengan, seluar pendek dan skirt diharamkan sama sekali. Kegagalan menurut undang-undang ini akan menyebabkan mereka disaman pihak berkuasa.

Ramai yang menyambut baik pelaksanaan ini, dan tidak kurang juga yang membantah. Sejajar dengan arus pembangunan, pusat-pusat karaoke, bar dan kelab malam hanya dibuka untuk orang bukan Islam. Rancangan realiti pupus, begitu juga dengan filem-filem cinta dan lagu-lagu dari Barat disekat. Jika ada pun, ianya samada dari Indonesia atau Singapura. Internet dikekalkan, tapi sekatan terhadap sesetengah laman utama dibuat.

Datuk Siti Nurhaliza mengumumkan persaraan beliau. Begitu juga dengan Lisa Surihani, pelakon legenda. Jika ada pun pelakon wanita yang masih mahu berlakon, mereka diwajibkan memakai tudung. Tidak kiralah sejahat mana pun wataknya, mesti bertudung. Ini antara kelonggaran yang diberi oleh Kementerian Penerangan.

Malaysia kembali aman, walaupun ada kedengaran suara bantahan segelintir rakyat.


Namun,







[celaka, panjang jugak cerita gua ni. tak sempat nak rehatkan mata, kan?]











Menjelang 2020, pakatan Negara-negara Keamanan melakukan kebangkitan setelah Amerika nekad mengebom Arab Saudi. Pada 7 Disember 2019, Tentera Keamanan menyerang Washington dan Tel Aviv. Amerika dan Israel lumpuh. Manakala Britain dan negara-negara barat yang lain turut menyerah. UN mengancam keras serangan ini, tapi masih tidak berbuat apa-apa kerana jumlah keahlian Negara-negara Keamanan yang majoriti. Ekonomi global jatuh mendadak, kesan serentak kejatuhan negara-negara Arab dan Amerika.

Kesannya turut dirasai di Malaysia. Sekali lagi negara ini bergejolak. Negara mengalami susutan ekonomi. Projek-projek yang didana pelabur asing terbantut. Harga minyak dan barangan asas semakin meningkat, manakala sumber makanan semakin berkurangan.

Kerajaan baru dipersalahkan kerana gagal memperkukuh ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat yang semakin tersepit dengan krisis kewangan. Manakala rakyat yang selama ini memendam rasa dengan pelbagai peraturan sosial dan dasar ekonomi baru turut bangkit menyuarakan bantahan.

Putrajaya diserang lagi. Shah Alam turut diserang, begitu juga dengan Pulau Pinang. Tunjuk perasaan berleluasa di tiga kawasan ini. Pembakaran di sana sini, tunjuk perasaan hampir setiap hari. Malah turut ada yang terkorban.

Menurut ayah Aidid, rakyat Malaysia yang mula rasa tergugat dan menyampah dengan senario ini mula berhijrah ke negara jiran. Tambahan pula, populasi rakyat negara pada ketika itu meningkat, sehingga mencecah 35 juta orang. Rakyat sesak dan berkecamuk.

Pada masa itu Indonesia mula menjadi negara pesat yang membangun. Sudah banyak metropolis samada di Sumatera Barat, kepulauan Jawa, Kalimantan, mahupun Sulawesi. Cuma Papua sahaja yang sedikit ketinggalan. Rakyatnya juga semakin bertambah, dan masyarakatnya juga lebih berdaya maju dan bermoral tinggi.

Thailand, walaupun masih bergejolak dengan krisis politik dalaman, juga semakin maju berbanding Malaysia. Begitu juga dengan Singapura yang semakin padat dengan pembangunan dan Brunei yang kekal aman harmoni.

Rakyat Malaysia berbangsa Melayu kebanyakannya berhijrah ke Indonesia dan Thailand. Manakala yang berbangsa China pula lebih gemar untuk ke Singapura dan Hong Kong. Kebanyakan mereka adalah dari golongan cerdik pandai dan kenamaan yang tidak mahu kedudukan mereka tergugat dengan senario dalaman negara.

Bagi yang kurang kemampuan, mereka terpaksa berhijrah ke bumi Borneo. Pada mulanya ramai yang ingin memulakan kehidupan di Brunei, tapi Sultan Brunei tidak memberi perkenan dan satu rang undang-undang dibuat untuk mengelakkan lambakan rakyat Malaysia di negara itu. Hasilnya, beberapa penempatan baru dibuka di sekitar Sabah dan Sarawak. Melayu di bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Sibu, Miri, Bintulu dan Kuching sudah mula bercakap loghat 'utagha', Klate, Ganu, Peghok dan Nogori Smilan.

Keluarga ayah Aidid juga turut berhijrah.

Nurul Izzah yang semakin tertekan dengan pemberontakan dari rakyat ini, sekali lagi pilihanraya diadakan pada 13 Mei 2021. Kali ini, Tun Ali Rustam mengundur diri, dan Barisan Nasional diketuai Tun Hisyamuddin dan timbalannya Datuk Seri Khairy Jamaluddin. Hasil pilihanraya ini, Pakatan Rakyat telah tewas dan kerajaan sekali lagi diambil alih oleh Barisan Nasional.

Dan pada hari pertama sebagai Perdana Menteri, Tun Hisyamuddin telah mengumumkan penggunaan istilah Malaysia Jaya di semenanjung sebagai pusat politik, ekonomi dan industri, dan Malaysia Raya di Borneo sebagai kawasan penempatan utama di Malaysia.

Putrajaya ditinggalkan menjadi kawasan pelancong, manakala tampuk pemerintahan berpindah ke Johor Bharu.


*Beep! Beep!*


Xarra membunyikan hon fliesnya. Aidid cuma tersenyum melihat lambaian gadis comel itu sambil menekan papan kekunci di muka pintu. Selesai mengunci pintu rumah, Aidid kemudiannya melangkah laju ke dalam flies Xarra.


[bersambung lagi. kot.]

Comments
6 Comments

6 orang tak puas hati:

Aie Isa said...

malaysia dah ke piala dunia ke belum masa ni?

Encik Akmal said...

keh keh... aie aie.. kang lagi berjela kang. mana nak cerita pasal kebangkitan fakri lagi..

Unknown said...

apsal ko tulis menarik sangat
letih mata den membaca~

pm said...

apasal bkn anuar berahim yg jd pm? izzah da jadi mak orang ler time 2..larat ke dia nk jadi pm sambil jaga anak..

pm said...

apasal bkn anuar berahim yg jd pm? izzah da jadi mak orang ler time 2..larat ke dia nk jadi pm sambil jaga anak..

Encik Akmal said...

haha. Tapi imaginasi aku kata, Anwar dan Muhyiddin Yassin dah tak aktif dalam politik Malaysia masa ni.