Monday, July 13, 2009

Nora Sharkawi, wanita pemutar belit. (Oh sila jangan terasa, kamu!!)

Cerita ini adalah fiksyen semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah berjumpa dengan Maikel Jeksen di alam lain.

Kategori: [U] Untuk tatapan umum

Nora Sharkawi kelihatan sangat gembira setelah mendapat kelulusan cuti dari bosnya. Dia mahu pulang ke kampung segera, kerana ayahnya menelefon dari kampung mengatakan musim durian telah tiba.

Tanpa lengah, Nora Sharkawi yang bekerja di Sabah terus mengambil barangan peribadinya dan menuju ke bilik sahabatnya, Zaiton Sameon. Tergesa-gesa. Zaiton Sameon adalah satu-satunya rakan Nora Sharkawi yang mempunyai lesen memandu ketika itu. Mahu pun begitu, Zaiton Sameon memang terkenal dengan kesibukannya, selaku wakil pelajar wanita di salah sebuah institusi pengajian tinggi.

"Eton, kau boleh hantar aku ke airport tak? Ibu aku eksiden la..." tanya Nora Sharkawi, sekadar mencuba nasib. Dia nampak Zaiton Sameon sedang menyiapkan tesis, dengan timbunan fail di atas meja. Dia tahu Zaiton Sameon sedang sibuk, jadi dia cuba untuk menipu.

"Lah yeke? Nanti kejap aku siap. Kau tunggu je kat kereta," balas Zaiton Sameon.

Nora Sharkawi bergegas turun ke parkir kereta. Dia agak terkejut dengan reaksi spontan Zaiton Sameon. Dalam beberapa milisaat, Zaiton Sameon terus bersetuju untuk menghantarnya ke airport. Padahal airport bukannya dekat. Selama ini, kalau Nora Sharkawi memang kena bersedia untuk dikecewakan jika mahu minta pertolongan dari Zaiton Sameon. Tapi kali ni tidak. Mungkin kerana kali ini emergency, getus hati Nora Sharkawi.

Setibanya di airport, Nora Sharkawi yang berpura-pura menangis kerana kerisauan akan ibunya, menjadi resah apabila melihat satu barisan panjang sedang menunggu giliran di mesin ATM dan juga di kaunter membeli tiket. Duit di poketnya cuma tinggal RM30 sahaja. Memang tak cukup untuk beli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur. Barisan itu pula sangat panjang. Mungkin Nora Sharkawi terpaksa ambil penerbangan waktu malam.

Tiba-tiba, Nora Sharkawi terserempak dengan Baiti Dasuki, rakan kolejnya yang cantik dan kaya, tetapi agak sombong. Mereka cuma berkenalan di kelas sahaja. Itu pun sekadar kenal nama sahaja. Tapi kerana sudah tidak ada pilihan, Nora Sharkawi cuba untuk meminjam duit dari Baiti Dasuki. Sambil berlakon dan menangis tersesak-esak, Nora Sharkawi berkata:

"Err...Baiti kan? Boleh tolong saya tak? Ibu saya kemalangan dan saya harus balik segera. Tapi saya tak ada duit cash untuk beli tiket. Boleh tak kalau saya nak pinjam duit awak dahulu?"

"Oh my God!! betul ke ni? Nah, ambik ni RM500. Kalau tak cukup nanti call I ye. Ini nombor I,"

Duit dan nombor telefon diberi. Sekali lagi Nora Sharkawi terkejut. Tak sangka, hari ini memang nasibnya baik.

Tiba di kaunter membeli tiket, Nora Sharkawi terfikir akan satu idea. Kerana dua kali permintaan Nora Sharkawi dari rakan-rakannya dituruti atas alasan kecemasan, Nora Sharkawi cuba untuk melakukannya sekali lagi. Mungkin kali ini juga akan berjaya.

Sambil menangis tersedu-sedan, Nora Sharkawi menuju ke arah seorang wanita Cina yang paling depan sekali lalu berkata:

"Minta maaf puan, ibu saya kemalangan dan saya perlu balik segera. Bolehkah puan izinkan saya untuk membeli tiket dahulu?"

"Oh I'm so sorry... Nah, silakan,"

Taktik menjadi. Nora Sharkawi tak sangka, orang Malaysia memang prihatin.

Setibanya di atas kapal terbang, Nora Sharkawi terfikir akan sesuatu yang menjadi impiannya sejak kecil. Memandangkan hari ini adalah hari bertuahnya, Nora Sharkawi bergegas ke tempat duduk seorang lelaki.

Dengan cara yang sama iaitu menangis teresak-esak, Nora Sharkawi berkata:

"Encik, bolehkah saya duduk di sini? Ibu saya kemalangan. Jadi kalau saya duduk di tempat ini, mungkin saya akan dapat keluar dengan mudah tanpa perlu berhimpit dengan penumpang lain dan dapat sampai awal."

Lelaki itu enggan. Nora Sharkawi terkejut. Ini adalah kali pertama permintaannya hari ini ditolak. Dia mendesak lagi. Lelaki itu masih enggan, malah terus memasang tali pinggang keselamatan. Nora Sharkawi yang tersentak, terus meninggikan suaranya.

"Engkaulah rakyat Malaysia yang tidak prihatin! Ibuku kemalangan dan terlantar di hospital, tetapi engkau langsung tidak mahu membantuku!! Lelaki jenis apa engkau ini?"

Lelaki itu membalas dengan selamba.

"Cik, saya adalah pilot untuk penerbangan ini."



Moral: Kalau iya pun nak menipu, sila cerdikkan diri dahulu.
Comments
1 Comments

1 orang tak puas hati:

Yang Benar, Kakak Perkara Rawak said...

ni bukan tak cerdik,tapi haloba.
sekali umpan menjadi,nak berkali-kali..
sengal sungguh wanita ini..kih3