Thursday, February 11, 2010

Celaka. Nampak budak usung bagasi pergi airport, macam kita pula yang nak beraya.

Kehadapan keluarga yang kini berada di rumah.

Diharap kalian semua berada dalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya. Bersama surat ini, anakanda sertakan seribu kemaafan kerana tidak dapat bersama kalian semua untuk meraikan perayaan ini sebagai satu keluarga yang lengkap. Bukan kerana anakanda tidak ingin pulang ataupun kerana ditahan oleh pihak imegresen. Juga bukan kerana anakanda telah pun mempunyai kekasih anak tempatan yang menahan anakanda dari pulang. Tetapi anakanda tidak dapat pulang kerana tiket penerbangan adalah sangat mahal. Dengan keadaan anakanda yang 'berjalan sambil tengok lantai mana lah tahu terjumpa syiling', anakanda tak sanggup untuk membeli tiket yang harga beratus semata-mata untuk merasa tidur di rumah. Oh selama ini anakanda beli tiket guna kad kredit ibunda, bukan? Hahahaaa.. Anakanda memang pandai bergurau sekarang ni, kan?

Sampaikan salam anakanda kepada seluruh ahli keluarga, saudara-mara, jiran-jiran serta 'anak jiran' untuk anakanda. Katakan kepada mereka, jagalah diri. Kenang-kenanglah anakanda di sini, di perantauan, di negeri orang. Kalau makan limau tu, janganlah sampai tercekik. Seperti yang anakanda katakan tadi, harga tiket penerbangan sangatlah mahal. Anakanda tidak mahu beli tiket di kaunter dengan gaya kecemasan, dan bila orang tanya, anakanda jawab "Saya terpaksa balik kerana hal kecemasan. Kes tercekik limau.". Tolong, anakanda belum cukup bersedia untuk balik kerana kes-kes macam tu. Jaga sikit akhlak ketika makan tu.

Janganlah kalian semua risau tentang anakanda. Cuti selama seminggu ini, anakanda akan mengisi masa lapang bersama bantal. Err... maksud anakanda, mengisi masa lapang bersama kawan-kawan. Bersama-sama surat ini, anakanda sertakan sekali gambar anakanda yang juga sibuk membuat persiapan untuk beraya bersama kawan-kawan di sini.



[Satu- sejak bila gua buat lemang?]

[Dua- okey, gua mengaku. Gambar ni masa 2008. Kat Segamat]

P/s: Sila baca surat ini dengan alunan lagu remix Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Sudirman dan Gong Xi Fa Chai dendangan Andy Lau.


Comments
0 Comments

0 orang tak puas hati: