Sebaik sahaja keluar dari pejabat, saya terus buka pintu kereta dan duduk di tempat sebelah pemandu.
"Ko la drive. Aku tak boleh drive malam. Silau."
Kata saya dengan serius. Daus hanya memandang dengan simpati.
Dari Seri Kembangan, dia terus memandu ke Sentul. Setibanya kami di satu kawasan perumahan, dia menghentikan kenderaan. Rupa-rupanya, ada seorang makwe yang dari tadi sedang menunggu kami. Kelihatannya seperti ada urusan dengan Daus.
Makwe tu boleh tahan cantik. Saya pandang makwe itu. Makwe itu pandang saya. Kami bertentang mata.
"Apa pandang-pandang??"
Sergah Daus. Dia terus keluar kereta. Saya dengar cerita, Daus ni sudah bertunang. Jadi kerana tidak mahu kacau tunangan orang, saya mengalihkan pandangan ke tempat lain. Daus menuju ke arah makwe tersebut, berbicara dalam seminit dua, lalu selesai dan dia kembali ke dalam kereta. Bertuah betul Daus. Sudahlah disayangi bos, tunang pula cantik.
Sebelum menyambung perjalanan, saya sempat melambai ke arah makwe tersebut. Dia balas lambaian saya dengan senyuman.
"Woi dia lambai balik kat aku lah!"
Kata saya kepada Daus, separa mengejek. Saja nak buat Daus cemburu.
"Itu adik aku lah, ngok!"
Kata Daus.
Saya tersengih sorang-sorang.
Daus memang betul-betul bertuah. Sudahlah disayangi bos, tunang pula cantik, malah bakal mempunyai adik ipar seperti saya.
(bersambung...)