Wednesday, October 6, 2010

Kisah rezeki terpijak part 1: Jika anda dalam situasi ini, apa anda buat?

Pelakon:
- Gua sebagai 'Gua'
- Ehem-ehem sebagai 'Samdol A',
- Ehem-ehem sebagai 'Samdol B',
- Pakcik kaya sebagai 'Tauke Lim',
- Pakcik Melayu sebagai 'Pakcik Dolah',
- Kanak-kanak sebagai 'Ajis'.

Lokasi: BSN cawangan 'Daerah X'

Masa: Sekitar 5.00pm.


***

Gua, Samdol A dan Samdol B berjalan-jalan di sekitar Daerah X. Sepanjang 3 tahun di Sarawak, gua tak pernah menjejakkan kaki di Daerah X. Ini adalah kali pertama. Menurut Samdol A, banyak barang-barang menarik yang boleh dijumpai di Daerah X. Samdol B yang mudah terpengaruh dan merupakan peminat Farid Kamil, begitu gembira ketika menjejakkan kaki di Daerah X. Katanya, dia ingin mencari sweater Adidas yang dipakai Farid Kamil dalam filem "I'm Not Single". Perangai... perangai...

Tapi benarlah kata Samdol A, banyak benda menarik dapat dijumpai di sini. Sweater Farid Kamil yang telah lama dicari Samdol B pun berjaya dijumpai. Samdol B dengan pantas segera mencuba-cuba sweater tersebut. Smart. Sikit lagi nak sama dengan Farid Kamil. Gua dan Samdol A pun hampir tak kenal kawan sendiri.

Masalahnya sekarang, kami ketiadaan wang. Okey, ayuh ke mesin ATM terlebih dahulu. Samdol B menyorokkan sweater tersebut dari pandangan awam. Risau dibeli oleh orang lain.

[ , ]

Setibanya kami di RHB Bank, gua segera melompat dari motor, membuka helmet, dan berlari ke arah mesin ATM sambil mengeluarkan kad ATM. Tak perlu bayangkan macamana, sebab gua tipu. Mana ada orang pergi ke mesin ATM sambil berlari (kecuali brader-brader MLM).

Tetapi gua hampa apabila mesin ATM tersebut tidak berfungsi. Baghal.

Tetapi orang Daerah X ada alternatif lain untuk mengeluarkan wang. Ya, Bank Simpanan Nasional yakni BSN.

Gua mengepalai Samdol A dan B berjalan kaki ke BSN. Mesin ATM mereka tidak terletak di kaki lima seperti mesin ATM biasa, tapi terletak di sebalik pintu kaca. Ini bermakna, gua perlu menolak pintu kaca dengan bergaya sebelum dapat bertemu dengan mesin ATM tercinta. Terdapat dua mesin ATM, kedua-duanya sedang digunakan oleh dua orang pakcik. Seorang bersendirian, manakala seorang lagi bersama anaknya.

Tetapi tiba-tiba telefon Samdol B berbunyi. Mungkin kerana keliru dan menyangka diri sedang berada di dewan kuliah, Samdol B keluar dari bank untuk menjawab panggilan.

Jadi secara matematiknya, kini terdapat lima orang di dalam bank tersebut. Gua, Samdol A, pakcik Melayu bersama anaknya, dan pakcik Cina.

Mari kita namakan pakcik Cina di hadapan gua ini sebagai 'Tauke Lim', manakala pakcik di hadapan Samdol A sebagai Pakcik Dolah bersama anaknya Ajis.

Gua dan Samdol A masing-masing tabah menunggu giliran. Pakcik-pakcik ini pula, entahkan cucuk duit ataupun sedang online Facebook, gua pun tidak pasti. Lama betul. Orang dah tak sabar nak beli barang ni!

Tiba-tiba, mesin ATM yang digunakan Tauke Lim berbunyi. Minta diambil kad ATM. Tauke Lim segera mengambil kad ATM miliknya, berpusing, berjalan dan membuka pintu kaca, lalu pergi.

Gua melangkah ke hadapan. Yang peliknya, mesin ATM di hadapan gua masih berbunyi. Selalunya, kalau mesin ATM berbunyi selepas kad ATM diambil, bererti ia menjerit menyuruh orang mengambil wang.

Gua tengok di slot wang.

Ya, ada duit di situ. Mengikut tafsiran gua, berdasarkan ketebalannya, wang not RM50 itu bernilai dalam kira-kira RM1000.


Ya, wang RM1000 di hadapan mata gua.


***

Soalan: Jika anda dalam situasi saya, tindakan anda ialah-

A) Mengambil wang tersebut dan masukkan ke dalam poket seluar. Kemudian masukkan kad ATM anda seperti biasa.

B) Mengambil wang tersebut dan masukkan ke dalam poket seluar. Kemudian blah la kan, takkan nak tunggu Tauke Lim datang baru nak cabut.

C) Membiarkan wang tersebut, berusaha mengejar Tauke Lim dan menyuruh dia mengambil wangnya.

D) Membiarkan wang tersebut, memandang Samdol A sambil tersenyum halus (dengan harapan Samdol A akan mengambil wang tersebut. Jika berlaku apa-apa, anda tidak bersalah)

E) Lain-lain jawapan ________________________



(...bersambung ke part 2...)
Comments
0 Comments

0 orang tak puas hati: