Thursday, October 7, 2010

Kisah rezeki terpijak part 2: Antara kebaikan, kejahatan dan Tauke Lim yang gua rasa macam nak pijak.




Sekadar mahu mengimbas kembali situasi dalam episod lepas;


Gua di hadapan RM1000. Di belakang gua, Samdol A. Sebelah gua ialah Pakcik Dolah dan Ajis. Samdol B di luar, menjawab panggilan telefon dari rakannya.

Tauke Lim berjalan laju keluar dari bank.


RM1000: Ambil atau tidak? Bunyi mesin ATM menjerit menambah cemas.


Di penghujung episod lepas, gua ada memberikan pilihan jawapan dan meminta lu orang meneka apakah tindakan gua, Samdol A, B, dan Tauke Lim. Dan ini ialah jawapannya. Enjoi.


#############################################################


Antara interval beberapa saat itu, sesiapa pun tidak sempat untuk memikirkan sebarang kemungkinan dan membuat keputusan. Jika lewat, Tauke Lim mungkin sudah memasuki kereta dan balik rumah. Semuanya antara ambil atau panggil.

Gua pandang Samdol A. Samdol A pandang gua. Pakcik Dolah masih sibuk tekan-tekan mesin ATM. Samdol B rupanya perasan akan situasi ini. Dia segera melangkah masuk ke dalam.

Dan tiba-tiba,

Samdol A memanggil Tauke Lim yang hampir tidak kelihatan. Tauke Lim terdengar panggilan Samdol A dan masuk semula ke dalam bank. Tergesa-gesa. Gua berundur ke belakang, memberi ruang kepada Tauke Lim untuk mengambil wangnya.

"Aiyaa.. Saya ingat tadi sudah kensel..."

Tauke Lim berkata selamba sambil kembali memasukkan kad ke dalam slot dan melakukan dua kali transaksi pengeluaran wang. Gua rasa, dia keluarkan lagi RM2000 (buat pengetahuan lu orang, transaksi pengeluaran wang di mesin ATM hanya terhad kepada RM3000 sehari bagi satu akaun)

Dan usai mengeluarkan wang, Tauke Lim melangkah keluar dengan tergesa-gesa.

Pakcik Dolah? Gua rasa Pakcik Dolah sampai sekarang ni masih dengan mesin ATM dia. Dari tadi tekan-tekan butang mesin ATM tanpa hiraukan keadaan sekeliling. Sibuk berchatting agaknya.

[ , ]

Gua melangkah keluar selepas selesai urusan di mesin ATM. Gua menuju ke arah Samdol A dan B yang berada di luar.

"Satu ribu beb..." kata gua sambil menaikkan satu jari telunjuk.

"Apahal kau tak ambik tadi?? Aduh... Kalau aku jadi kau, aku dah ambik dah"

Samdol B berkata dengan wajah geram. Ditendangnya tin Coca Cola kosong sehingga terkena kepala Makcik Wan Maimunah yang sedang berjalan membawa sayur. Geram agaknya Samdol B.

Gua memandang tajam ke arah Samdol A.

"Gila ke kau nak ambik duit tu? Tak nampak CCTV kat atas tu?"

Kata Samdol A, mempertahankan tindakannya.

"Aku tak kisah pasal duit tu. Yang aku sakit hati, jangankan sehelai RM50, sepatah 'terima kasih' pun dia tak bagi! Main blah macam tu je"

Kata gua. Gua dah mula tak dapat mengawal kemarahan. Kereta Brader Bob yang parkir di hadapan bank, gua terbalikkan. Brader Bob yang sedang membeli top up, pura-pura tak perasan.


[Situasi sekarang: gua geram dengan Tauke Lim, Samdol A geram dengan tindakan diri sendiri, dan Samdol B geram sebab menjawab telefon dan tiada di tempat kejadian.]


Dan sepanjang perjalanan kami selepas itu, perkataan 'satu ribu' disebut-sebut berulang kali. Sengaja mempermainkan hati sesama sendiri yang kempunan.


[ , ]


Lokasi: Kembali ke kedai baju.
Masa: Sekitar jam 6.00pm.


Samdol A dah berkenan dengan sehelai seluar jeans. Manakala Samdol B, awal-awal dah capai sweater Farid Kamil. Sekarang mereka sedang menunggu giliran gua untuk memilih.

Gua pergi ke bahagian seluar pendek. Dan gua tertarik dengan seluar celoreng askar. Gua tengok harga. Harga okey. Gua masuk ke fitting room. Saiz pun okey.

"Mal, kitorang tunggu kat kedai makan kat luar"

Jerit Samdol B dari luar fitting room.


Selesai mencuba seluar, gua keluar dari fitting room dan berjalan menuju ke kaunter pembayaran. Dalam perjalanan, gua terpandang satu rak syampu rambut. Memandangkan syampu rambut di rumah hampir habis, gua capai sebotol. Buat minum atas motor pun sedap ni, kata gua perlahan. Akak yang berada berdekatan dengan gua dah pucat muka apabila terdengar ayat gua itu.

Dan gua meneruskan perjalanan ke kaunter pembayaran. Gua menyerahkan syampu dan seluar kepada makwe cashier. Makwe cashier senyum-senyum pandang gua. Gua hanya membalas dengan satu jelingan kasar. Kita sebagai orang lelaki ni, kena jual mahal juga. Ini salah satu petua yang gua sempat pelajari dari Ahmad Faizal Ali, rakan gua di universiti pada suatu masa dahulu.

Makwe cashier tersenyum-senyum sambil menghulurkan tangan meminta wang. Gua keluarkan dompet, dan memberi secara kasar sehelai not RM50 kepada makwe tersebut. Sambil-sambil makwe cashier mengira wang baki, gua memandang ke tempat lain. Masih dalam mode 'jual mahal'. Selesai mengira, makwe cashier menyerahkan kepada gua wang baki. Tanpa berlengah, gua segera keluar dari kedai tersebut.

Satu tabiat gua, gua tak terus masukkan wang ke dalam dompet apabila menerima wang baki selepas membeli. Gua akan pastikan wang itu cukup. Sebab kadang-kadang, ada pengguna yang lalai sehingga tidak perasan wang baki tidak mencukupi. Gua kira dulu nilai barang yang gua beli tadi. Seluar pendek RM 16.90, dan syampu RM 4.90.

Dan gua kira wang baki sambil berjalan. Ingat, gua serahkan not RM50 masa membayar tadi.

Wang baki gua: RM 45.10.


#############################################################


Beberapa benda yang gua pelajari dari apa yang berlaku hari ini:

[1], Wang orang, bukan hak kita. Tiada istilah 'rezeki terpijak' jika pemiliknya masih ada. Mungkin wang itu digunakan untuk hal-hal yang penting dalam hidup dia. Dan bukan layaknya kita untuk mengubah hidup dia.

[2], Lain kali, kalau lu berbuat baik terhadap seseorang, jangan mengharapkan sesuatu dari orang itu. Harapkan sesuatu yang baik dari Tuhan.

[3], Dengan pulangkan RM1000 kepada pemiliknya, gua dapat sehelai seluar pendek RM16.90. Not so bad la kan?

[4], Orang macam Pakcik Dolah tak boleh buka cerita pasal isu-isu semasa. Bukan dia ambil kisah pun hal-hal sekeliling.

[5], Makwe cashier di kedai tersebut dipilih bekerja atas dasar rupa. Jenis masa kat sekolah dulu, orang sibuk tekan kalkulator, dia sibuk tulis biodata untuk abang angkat.


P/s: Segala nama dalam cerita ini hanyalah rekaan semata-mata. Pasal Makcik Wan Maimunah dan Brader Bob tu, gua tipu.


Comments
0 Comments

0 orang tak puas hati: