Kat Sungai Buloh, antara menu paling feveret bagi kutu-kutu di sana sekiranya lepak di kedai makan ialah 'Nasi Bujang'. Ada juga yang panggil 'Nasi Cowboy'. Ada juga yang panggil 'Nasi Bajet'.
Kenapa nama makanan ni pelik-pelik? Haaa... ni gua nak cerita sikit.
Dalam kancah kehidupan seorang kutu, time management kita tolak tepi. Sebab itu lah, kutu-kutu akan lepak dari lewat malam sehingga awal pagi, janji nak datang snuker pukul 11 tapi pukul 1 baru datang tersengih-sengih, booking court futsal jam 9 tapi masing-masing sampai jam 9.30, kata nak beraya rumah Siti Farah sekejap je, tapi bila tahu ayah Siti Farah keluar, acara beraya akan berlarutan sampai berjam-jam, dan macam-macam lagi contoh lain.
Tapi kalau mamak lambat sikit hantar teh tarik, memang kena maki la. Yang ini, ada pengecualian. Time management dijaga ketat, mamak mesti punctual.
"5 minit anney, sikit jam, misti sampai punya!"
Jadi, kalau bukan time management, apa yang penting? Yang penting dalam scene kutu, ialah money management. Terutamanya sejak harga minyak naik. Motor memang jarang dapat pinjam. Kalau boleh, pergi mana-mana tumpang motor/kereta member. Rokok? Semua steady simpan dalam poket. Masa nak cucuh, baru keluar sebatang-sebatang. Kutu yang masih bersekolah pula, akan keluarkan rokok yang sudah dibakar separuh. Entah tandas mana dia kutip.
Kalau ajak lepak, akan ada kutu yang tak dapat ikut kerana duit tinggal 20 sen. Jika ada yang bersimpati dan sudi membelanja kutu tersebut, barulah dia boleh turut serta. Itu pun, bila lepak lagi sekali, akan berlaku hal ungkit-mengungkit. Gua dengan adik gua steady. Kadang-kadang adik gua buat perangai tak bawak dompet, gua belanja. Kalau gua balik cuti dengan baki akaun kosong, adik gua pula yang belanja. Give and take kata orang.
Setibanya di destinasi lepak, seperti biasa, akak yang ambil order akan dinilai. Sekiranya akak tersebut cantik, akan berlaku adegan mengorat, buat lawak beruk, pura-pura tersalah order, dan cubaan mintak nombor telefon macam iklan AXE Effect. Kemudian barulah para kutu akan order. Tapi kalau tak cantik, order akan dibuat dengan pantas. Masing-masing pesan air dan makanan dengan muka ketat.
Dan atas prinsip money management yang kita bincangkan sebentar tadi, para kutu akan order nasi bujang. Nasi bujang adalah menu kategori nasi yang paling saving sekali, sebagai alternatif sekiranya kedai tersebut ketiadaan nasi lemak. Apa yang ada dalam nasi bujang ialah sepinggan nasi panas, telur goreng dadar, sup kosong, dan sambal belacan dengan timun.
Kerana lauknya yang sangat basic, kesedapan sesuatu nasi bujang dinilai melalui kepanasan nasi kosongnya, kesedapan supnya, ketebalan telur dadar, dan kepedasan sambal belacan. Timun selalunya kutu-kutu akan buat hiasan tepi pinggan.
Oh ya. Harga? Kalau kat tempat gua, nasi bujang paling sedap dan murah berharga RM2.50.
P/s: Apakah motif gua mempromosi nasi bujang? Ya, memandangkan sekarang sudah hujung semester dan bilangan duit syiling dalam laci semakin menyusut, gua dengan ini ingin memohon kepada pengusaha-pengusaha kafe untuk mewujudkan nasi bujang dalam senarai menu mereka.
Updated: Maaf, gua tak dapat nak kecilkan gambar mamak kat atas ni.