Saturday, February 5, 2011

Segamat.

Dulu, kalau abah ajak balik Segamat, saya antara yang akan tanya; "Bila balik sini balik?". Dan kemudian abah akan marah saya, "Kau ni, belum sampai Segamat lagi dah tanya bila nak balik!"

Hahaha!! Memang, dulu, memang ada saja yang tak kena dengan Segamat bagi saya.

Nenek tentunya suka kalau kami balik Segamat. Bukan kami saja, malah sesiapa pun yang balik Segamat, nenek akan sambut dengan gembira, walaupun nenek tak tunjuk. Kalau abah telefon kata nak balik Segamat waktu malam, nenek akan tunggu. Sampai jam 2 pagi pun, nenek masih berjaga. Bila kami sampai, tilam dah siap terbentang sebab nenek tahu, kami adik beradik akan terus tidur. Atas meja pula, ada air teh 'o' yang masih panas untuk abah. Bila abah tanyakan soalan pada nenek, abah kena cakap kuat-kuat. Sebab pendengaran nenek kurang baik.

Hahaha!! Bayangkan, abah kena cakap kuat-kuat pada jam 2 pagi.

Waktu pagi-pagi, biasanya selepas Subuh, saya tidak kembali tidur. Saya lebih suka duduk di depan rumah nenek. Tak ada apa-apa pandangan yang menarik pun sebenarnya. Tapi saya sukakan bau semulajadi. Bau embun, bau daun, bau tanah merah, dan dengar bunyi-bunyian dari unggas atau cengkerik. Nyaman. Tenang.

Kalau musim buah, pagi-pagi lagi abah dah ajak keluar pergi cari buah. Kutip durian, jolok pokok rambutan, petik buah langsat, buah manggis, petik petai. Tapi kadang-kadang abah dan Abang Long saja yang buat semua tu. Saya, cuma tolong tengok sambil tepis-tepis nyamuk. Bila dah selesai, longgok depan rumah, letakkan dalam bakul. Kalau musim durian, nenek akan belahkan untuk kami beberapa biji durian. Tapi nenek tak makan pun. Lepas tu, nenek kembali ke dapur, memasak. Kemudian, akan terdengar suara nenek menghalau kucing yang curi ikan goreng nenek. "Jahat!!", marah nenek.

Hahaha!!! Nenek agak comel bila marahkan kucing.




Nenek. Keseorangan, dan sentiasa menunggu kepulangan.


Sekali-sekala, abah juga ajak kami adik beradik pergi ke tanah kebun abah. Abah sediakan sabit, racun rumput, parang, cangkul, dan sebotol air. Saya, antara yang susah mahu ikut abah membersihkan kebun. Semuanya kerana saya fobia dengan penyengat di salah satu pokok durian di kebun abah. Bila abah selesai menanam beberapa anak pokok, abah ajak balik. Saya yang dari tadi berdiri sambil memaki nyamuk, segera masuk ke dalam kereta. Tapi sebelum itu, abah suruh saya bersihkan selipar dari tanah merah.

Kata abah, "Siapa lagi yang boleh abah minta untuk jaga tanah kebun tu, kalau bukan anak-anak abah sendiri?"

Waktu tengahari, antara waktu paling seronok. Terutamanya untuk orang yang suka makan sedap-sedap seperti saya. Bayangkan, bila ada mama, nenek, Mak Ngah, Makcik Yam, Makcik Ju semuanya bergabung di dapur. Dan bila nenek panggil makan, semua berkumpul di meja makan. Bak kata Pakcik Pit, "Seronok makan ramai-ramai ni, boleh rebut-rebut."

Hahaha!!

Waktu petang, saya suka jalan kaki sekitar kampung. Dari rumah nenek, saya berjalan ke kawasan hutan, sehingga singgah sebentar ke kawasan tanah perkuburan arwah atuk. Kemudian, patah balik. Saja, jalan-jalan. Sangat tenang rasanya, walaupun ketenangan saya diganggu oleh pandangan beberapa orang kampung yang pandang semacam pada saya. Mungkin kerana mereka tak pernah lihat wajah saya di kampung itu, jadi mereka anggap saya remaja bermasalah.

Hahaha!!

Kadang-kadang waktu petang juga, saya, adik dan Abang Long akan keluar ke Bandar Segamat. Singgah di depan pasaraya Fajar, beli Burger Segamat kegemaran saya, kemudian kami akan lepak di Dataran Segamat. Waktu petang begini di dataran, ramai remaja melepak. Bawa motor dan makwe masing-masing.

Bila tengah malam, Bang Long ajak keluar lagi. Kali ni, untuk berjumpa dengan anak-anak Pak Long. Anak Pak Long ada enam orang, lelaki semuanya. Bila kami balik kampung, kami mesti jumpa dengan mereka. Pergi snuker, main boling, karaoke, atau kadang-kadang cuma lepak minum sambil tengok bola, borak-borak, dan gelak-gelak.

Kami balik selewat jam dua pagi, semua orang dah tidur. Cuma kadang-kadang nenek masih berjaga. Saya pun tidak tahu, bila masa nenek tidur. Nenek tak pernah marah kami balik lewat, tapi saya tahu, nenek tak suka. Kerana nenek pernah mengadu, yang dia takut rumah dimasuki pencuri. Jadi bila kami balik lewat, nenek akan segera bangun dari katil, kerana nenek sangka pencuri. Atau nenek panggil 'Mat Karung Guni'.

Hahaha!!

Satu lagi, bila dah berkumpul ramai-ramai, makcik dan pakcik akan tanya soalan-soalan mandatori; "Sekarang buat apa?", "Belajar macam mana?", "Seronok belajar kat Sarawak?", dan macam-macam lagi. Kemudian, mereka akan bualkan tentang soal pelajaran saudara-saudara yang lain, sekadar berkongsi cerita. Saya sebenarnya tidak suka bualkan tentang perihal pelajaran, terutamanya pada waktu cuti sebegini, dan di tempat tenang sebegini. Terutamanya bila dibandingkan dengan saudara-saudara yang lain. Jadi, ada kalanya saya sedikit jengkel dengan soalan-soalan mandatori ini.

Tapi Mak Ngah lain. Mak Ngah lebih banyak tanyakan soalan yang berkaitan dengan makwe Sarawak. "Dah ada makwe Sarawak ke?", usik Mak Ngah. Kemudian kami sama-sama gelak. Tapi bila saya pula usik, "Nanti Mak Ngah kena la ikut abah dengan mama menghantar pinangan ke Kuching", kali ni Mak Ngah tak gelak.

Hahaha!!

Cuti kali ni, saya tak balik Segamat. Sebenarnya, saya tak balik bercuti pun. Saya ditinggalkan di kolej kediaman, keseorangan. Saya mahu balik ke rumah, tapi dilarang. Larangan itu membuatkan saya sedikit terkilan, dan saya mengambil keputusan untuk mengurung diri dalam bilik. Bila mengurung diri dalam bilik, tanpa ada aktiviti hiburan pun, saya lebih banyak luangkan masa berfikir. Saya ada 24 jam untuk berfikir. Bila masa saya tidur, bila masa saya makan, saya pun tak tahu.

Jika dulu ada saja yang tak kena dengan Segamat bagi saya, ini adalah kali pertama saya rasa seperti nak balik Segamat, nak jumpa nenek, nak jawab kuat-kuat bila nenek tanya, nak tepis-tepis nyamuk, nak makan durian, nak makan asam pedas nenek, nak jalan-jalan masuk hutan, nak cium bau daun, nak makan rebut-rebut, nak dijengkelkan tentang hal pelajaran, nak dengar suara nenek marah kucing, nak bersihkan selipar dari tanah merah.

Ini adalah kali pertama, saya rasakan lebih seronok jika balik Segamat berbanding balik Sungai Buloh. Sekurang-kurangnya, saya sentiasa ada nenek yang akan menerima kepulangan saya nanti.

Saya rindu Segamat lah! Nenek sihat? Segamat banjir lagi tak?
Comments
1 Comments

1 orang tak puas hati:

Leen LilDollius said...

hahahahahah klakar la ayat2 u ni!